BOSS MACAU SCAM DITAHAN SEMULA
Berita Jenayah
BOSS MACAU SCAM DAPAT DITAHAN SEMULA
KUALA LUMPUR: Suspek utama kes pengubahan wang haram, Goh Leong Yeong atau Alvin Goh dikesan sering bersembunyi dari satu ke satu lokasi lain selepas melarikan diri dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, 11 Oktober lalu.
Suspek berusia 32 tahun itu dikesan bersembunyi di sebuah residensi di sebuah pusat peranginan di Pahang, bersama seorang wanita warga China dipercayai teman wanitanya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata suspek yang juga koordinator kepada aktiviti Macau Scam di negara China ditahan selepas pihaknya menjalankan risikan bagi mengesannya sejak 12 Oktober lalu.
“Alvin ditahan pada jam 1.20 pagi bersama wanita warga asing dipercayai kekasihnya oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di luar Lembah Klang.
“Dia kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 117,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Antara suspek yang ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes Macau Scam dan penggubahan wang haram
Beliau berkata, pihaknya percaya Alvin sebelum ini sering berpindah dari satu ke satu lokasi lain bagi mengelakkan dirinya dikesan pihak polis.
“Kita juga akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti bagaimanakah dia dapat melarikan diri termasuk dakwaan kononnya dibantu pihak tertentu,” katanya.