BOS CIA JUMPA PEMIMPIN TALIBAN SECARA RAHSIA DI KABUL
BOS CIA JUMPA PEMIMPIN TALIBAN SECARA RAHSIA DI KABUL
WASHINGTON – Ketua Agensi Perisikan Pusat (CIA), William Burns mengadakan pertemuan rahsia di Kabul dengan pengasas bersama Taliban, Mullah Abdul Ghani Baradar, lapor akhbar Washington Post hari ini.
Pertemuan mereka semalam, sekiranya disahkan, adalah pertemuan peringkat tertinggi antara kumpulan Islam tersebut dan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden sejak Taliban kembali berkuasa di Afghanistan.
Burns adalah salah seorang diplomat Biden yang paling berpengalaman, manakala Mullah Ghani yang mengetuai pejabat politik Taliban di Qatar, adalah salah seorang pemimpin tertinggi kumpulan tersebut yang telah mengambil alih kekuasaan di Kabul.
Seorang jurucakap CIA tidak mahu mengesahkan kebenaran pertemuan itu kepada agensi berita AFP dan berkata, CIA tidak pernah membincangkan perjalanan pengarahnya.
The Washington Post menyebut pegawai AS tidak didedahkan identitinya sebagai sumber yang mendedahkan pertemuan itu, namun dia tidak memberitahu mengenai isi perbincangan mereka.
Akhbar sama bagaimanapun menyebut tentang kemungkinan rundingan berkisar mengenai tarikh akhir untuk tentera AS menyelesaikan operasi pemindahan di lapangan terbang Kabul di mana beribu-ribu pelarian Afghanistan berkumpul dengan harapan dapat meninggalkan negara itu, lapor AFP
Biden telah menetapkan tarikh akhir 31 Ogos ini untuk menyelesaikan operasi pemindahan yang huru-hara itu.