BORANG BUKTI HUTANG DIFAILKAN NUJUM SAH
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan borang bukti hutang yang difailkan Kesatuan Wartawan Kebangasan Semenanjung (NUJ) cawangan Utusan Melayu (NUJUM) adalah sah dan tidak ditolak oleh pelikuidasi, pada 2 November.
Sehubungan itu, ia masih lagi sah dengan kenyataan pihak pelikuidasi bahawa kesemua borang tersebut sedang menjalani proses adjudikasi.
NUJUM dalam kenyataan berkata, oleh demikian pihaknya tidak perlu merujuk kepada Mahkamah Perusahaan buat masa ini.
GAMBAR HIASAN
“Justeru, berdasarkan keputusan Mahkamah dan alasan penghakiman yang diberikan tersebut adalah setakat ini menjadikan status borang hutang atas jumlah pampasan penamatan adalah memadai dan pihak NUJUM hanya perlu menunggu keputusan adjudikasi untuk jumlah-jumlah yang telah dimajukan melalui borang bukti hutang tersebut.
“Pihak NUJUM selepas daripada ini melalui Peguamcaranya akan membuat susulan dengan pihak UHY bagi mendapatkan pengesahan berkenaan dengan pengiraan manfaat penamatan sebagaimana yang difahamkan sedang diproses,” katanya dilaporkan Malaysiapost.
Sebelum ini, NUJUM memfailkan satu tindakan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Dagang) terhadap Utusan Melayu (Malaysia) Berhad melalui Pelikudasi yang telah dilantik.
NUJUM berkata, intipati ketidakpatuhan yang didakwa oleh pihak mereka adalah berkaitan dengan manfaat penamatan yang terkandung di dalam Perjanjian Kolektif (CA) yang telah ditandatangani oleh pihak kesatuan dan pihak Utusan sebelum ini.
“Umum mengetahui semenjak Utusan melalui proses penggulungan secara sukarela pada Oktober 2019, ahli-ahli NUJUM tidak diberikan sebarang tawaran manfaat penamatan.
“Walaupun ia dipersetujui dan jumlah manfaat penamatan yang sepatutnya dinikmati oleh ahli-ahli NUJUM adalah melebihi RM5,000,000 berdasarkan kepada tatacara pengiraan yang juga dinyatakan di dalam CA tersebut.
“Kesemua ahli NUJUM telah memfailkan jumlah keberhutangan masing-masing melalui borang bukti hutang (POD) sebelum mesyuarat bersama pemiutang kali yang pertama pada 6 November 2019 dan namun tiada sebarang jawapan tepat diperolehi oleh pihak NUJUM selepas itu menyebabkan maka tindakan di Mahkamah Tinggi difailkan,” katanya.
NUJUM berkata, berdasarkan kedudukan semasa pihaknya bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memandangkan ianya adalah selari dengan matlamat utama perjuangan pihak itu untuk tuntutan pampasan penamatan sebagaimana CA mestilah diiktiraf dan diproses oleh pihak Pelikuidasi yang mana proses-proses pengiraan adalah sedang dibuat.
“Pampasan penamatan ini adalah penting buat ahli NUJUM yang rata-rata amat mengharapkan satu suntikan kewangan sebagai hak ahli yang dijanjikan tambahan pula keadaan ekonomi dalam suasana semasa yang bergelut dengan pandemik COVID-19.
“Tentunya amat memeritkan buat ahli-ahli kami dan peluang untuk mendapat tawaran kerja baru dalam situasi semasa adalah satu perkara yang amat sukar berlaku.
“Harapan kami berdasarkan kepada Penghakiman Mahkamah Tinggi tersebut adalah agar proses pengiraan dipercepatkan dan ahli-ahli NUJUM dapat merasai dan menggunapakai hak pampasan masing-masing terutamanya di dalam waktu sukar ini,” katanya.