Bonnie luar biasa, raih emas kedua di Paralimpik Paris 2024
Foto : Atlet powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin mempertahankan pingat emas Sukan Paralimpik 2024 di Paris selepas menjuarai kategori lelaki 72kg pada Sukan Paralimpik Paris 2024. – Foto BERNAMA
Bonnie luar biasa, raih emas kedua di Paralimpik Paris 2024
KUALA LUMPUR: Atlet powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin menepati ramalan untuk menghadiahkan Malaysia pingat emas kedua di Sukan Paralimpik Paris 2024 dengan mengungguli aksi di Porte de La Chapelle Arena, sebentar tadi.
Beraksi dalam kategori 72 kilogram (kg) lelaki, apa yang lebih mengagumkan adalah kemenangan turut Bonnie memecahkan rekod dunia dengan angkatan 232 kg yang dilakukannya pada cubaan ketiga.
Turut sebagai pilihan utama dan juara bertahan dari Tokyo 2020, atlet kelahiran Sarawak itu tampak tidak bermasalah mempertahankan emas miliknya selepas melakukan angkatan 221 kg pada cubaan pertama.
Lebih menarik, angkatan Bonnie yang juga pemegang rekod dunia sebelum ini dengan 231kg jelas jauh daripada pencabarnya yang lain ketika itu.
Dan sekalipun cubaan keduanya pada berat 226kg tidak berjaya, Bonnie mengerahkan segala keringat untuk mencipta kejutan pada angkatan terakhirnya.
Atlet China, Hu Peng meraih pingat perak dengan angkatan 214kg dengan atlet Itali, Donato Telesca gangsa dengan angkatan 213kg.
Sebelum ini, Malaysia meraih pingat emas pertama di Paralimpik Paris 2024 menerusi jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou dalam acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal), Isnin lalu.
Lebih menarik, kejayaan Liek Hou turut berlangsung di gelanggang sama.