TAK PERLU PERMIT NIAGA DEPAN RUMAH
UNTUK RINGANKAN BEBANAN RAKYAT
JERANTUT: Orang ramai yang ingin berniaga secara kecilan di kawasan rumah diberi kelonggaran dengan tidak perlu mengambil permit tetapi masih terikat dengan peraturan yang diperlukan oleh pihak tertentu dan juga mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, orang ramai boleh berniaga tanpa mengambil permit sebagai meringankan bebanan yang dihadapi oleh golongan berpendapatan rendah.
“Dalam keadaan ekonomi yang suram, rakyat yang berpendapatan rendah pasti terkesan akibat wabak COVID-19 ini, selain itu kerajaan turut memberi potongan sewa gerai dan kemudahan yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebanyak 50 peratus.
“Kerajaan negeri sangat mengambil berat untuk membantu rakyat mengharungi situasi yang tidak menentu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac lalu yang memberi mimpi buruk kerana ada yang diberhentikan kerja,” katanya kepada media, semalam.
Katanya, kerajaan Negeri Pahang turut membelanjakan RM 3 juta sebagai memberi bantuan khas tunai kepada wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk potongan 50 peratus kadar sewa Projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) dan Rancangan Rumah Murah (RRM).
Sementara itu, kerajaan negeri turut merangka untuk memperkasakan gerakan koperasi di negeri Pahang dengan mengadakan pelbagai program yang boleh memberi kesan positif dan menyediakan pelbagai inisiatif berbentuk kewangan.
“Kerajaan sentiasa memberi galakan penubuhan koperasi melalui program pembudayaan koperasi dengan menyebar dan membina kefahaman kepada masyarakat untuk menyertai koperasi yang turut menyumbang peluang pekerjaan.
“Selain itu, koperasi membantu menyediakan peluang ekonomi dan meningkat taraf hidup anggota koperasi terutama yang berpendapatan rendah,” katanya
Katanya, setakat 31 Disember 2019, terdapat 1,153 koperasi di Pahang, anggota koperasi seramai 250,000 orang dengan modal terkumpul sebanyak RM297.1 juta termasuk aset bernilai RM1.57 billion dan perolehan berjumlah RM737 juta.