BN yakin menang di Lipis, calon lawan tiada modal berkempen
BN yakin menang di Lipis, calon lawan tiada modal berkempen
LIPIS – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Lipis (P079) dan Dewan Undangan Negerinya (DUN), Padang Tengku (N03), Cheka (N04) dan Benta (N05) dianggap kubu kuat bagi Barisan Nasional (BN) dan Umno pada PRU15 kali ini.
Jentera parti BN (Umno dan MCA) telah menjalankan tugas dengan baik dan terancang serta sering mendekati pengundi di kawasan masing-masing dan calon lawan tiada isu besar untuk dibawa ketika berkempen.
Keyakinan tersebut disuarakan oleh Ketua Umno Bahagian, Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dengan melihat persediaan dan simulasi yang telah diadakan sebelum ini menunjukkan kecenderungan pengundi memilih Barisan Nasional bagi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Lipis.
“Selain itu, kecenderungan ini berasaskan maklum balas yang diberikan terhadap perkhidmatan serta kebajikan yang dihulurkan oleh kepimpinan BN di Lipis selain kerap turun padang bertemu masyarakat di sini.
“Saya melihat gerak kerja yang ditunjukkan oleh semua lapisan kepimpinan sama ada peringkat Wanita, Pemuda dan Puteri adalah pada tahap yang tinggi. Ini sekaligus menunjukkan kita bersedia mempertahankan parlimen dan DUN di bawah Lipis,” katanya ketika ditemui di Lipis, hari ini.
Seorang aktivis politik Parlimen Lipis, Illias Said yang ditemui sepakat berkata, amat mustahil untuk menggantikan Abdul Rahman dengan calon baharu untuk kerusi Parlimen Lipis (P079) kerana menunjukkan prestasi yang terbaik sepanjang perkhidmatannya sebagai wakil rakyat.
“Malah beliau bertuah digandingkan dengan calon DUN Cheka, Ho Fong Mee, seorang yang sangat dedikasi dalam menjalankan tugasnya serta mempunyai wawasan tersendiri utnuk memajukan Dun Cheka,” katanya.
Seorang lagi aktivis yang enggan nama disiarkan berkata, penyandang Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamed sentiasa memainkan peranannya sebagai wakil rakyat dengan baik dan peka setiap isu yang timbul dan ditangani dengan baik.
“Penyandang ini (Abdul Rahman) masih releven dan dianggap calon boleh menang kerana disenangi oleh pengundi di parlimen ini, malah, tiada isu di kalangan penyokongnya dan terus memberi mandat dan sokongan yang tidak berbelah bahagi,” katanya.
Seorang aktivis di Kampung Kerambit berkata, beliau sebagai Timbalan Menteri 1, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menunjukkan peranannya yang sangat baik dan berkesan.
“Sering membantu anak-anak B40 melalui bantuan Mara, Risda, Felcra, Felda dan apa jua bantuan yang sangat diperlukan oleh golongan ini, bantuan pembangunan insan seperti bantuan awal pendidikan samada persekolahan atau ke pengajian tinggi, selain itu beliau juga sering mengikuti perkembangan politik setempat dan pembangkang gagal mencari isu di kalangan penyokong di kawasan ini,” katanya.-SAHIH.