BN SOKONG BERSYARAT
ONE OFF KWSP, LANJUT MORATORIUM
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan bersyarat terhadap Belanjawan 2021 dengan menuntut kerajaan membenarkan pengeluaran one-off hingga RM10,000 daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain melanjutkan moratorium.
Ketika menyatakan perkara itu, Datuk Seri Najib Razak (BN-Pekan) yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), turut berpandangan pindaan terhadap Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 wajar dilakukan, mengambil kira situasi luar biasa dihadapi negara ketika ini akibat COVID-19.
AHLI Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak
“Bajet ini dibuat dalam keadaan luar biasa, kalau kita nak pinda pun bajet ini, ia wajar dilakukan sebab ini keadaan luar biasa dan tambahan lagi dalam hal ini, pendirian BN seperti mana disuarakan oleh (Ahli Parlimen) Bagan Datuk (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) bahawa kita nak pengeluaran KWSP sebanyak RM10,000 secara one-off dan moratorium dilanjutkan hingga 30 Jun 2021 diluluskan kerajaan.
“Sokongan saya dan rakan-rakan terhadap bajet ini tertakluk kepada kelulusan kedua-dua ini, jadi sokongan kita (BN) pada bajet ini sokongan bersyarat,” katanya ketika membahaskan rang undang-undang itu di Dewan Rakyat seperti dilaporkan Bernama.