BN perlu fokus kepada jentera dan struktur pentadbiran
BN perlu fokus kepada jentera dan struktur pentadbiran
RAUB – Jentera Barisan Nasional (BN) perlu fokus kepada jentera dan struktur pentadbiran mendekati seberapa ramai pengundi dalam tempoh beberapa hari kempen menjelang pembuangan undi pada 19 November ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, gerakan secara berfokus dapat memberi suntikan semangat kepada jentera parti berkempen bagi memenangkan calon Barisan nasional (BN).
Katanya, di lapangan sokongan terhadap calon BN semakin meningkat hasil semangat luar biasa yang ditunjukkan gabungan rakan akrab BN dari Umno, MCA dan MIC.
“Saya mahu ingatkan kepada jentera kita dalam beberapa hari ini, kita beri fokus kepada jentera kita struktur kita dan berkempen lepas ini kita ada beberapa hari lagi ni kita akan mendekati rakyat dengan jentera yang telah pun kita wujudkan dalam masa lepas penamaan calon.
“Calon yang diketengahkan telah diuji dan berpengalaman dan saya tengok penerimaan rakyat semakin meningkat menjelang tarikh penamaan calon 19 November ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Mesra Rakyat bersama Menteri Pertahanan dan calon BN Parlimen Raub di Dewan Serbaguna Felda Lembah Klau, Raub.
Beliau menegaskan, formula unik BN yang berkongsi kuasa yang mengutamakan rakyat perlu menjadi agenda berterusan supaya kebajikan dan kepentingan mereka sentiasa dijaga.
“Jika parti masih menggunakan templat (acuan) negatif politik kebencian, menabur fitnah akan ditolak pengundi yang inginkan gabungan politik yang menjadikan kemakmuran dan kestabilan kepada rakyat dan negara.
“Rakyat sudah penat dengan politik pecah belah sejak PRU14 lagi sekali gus berharap kerajaan yang stabil dan berintegriti dapat dibentuk selepas pru15 ini,” katanya.-SAHIH.