BN PAHANG CONTOH POLITIK INKLUSIF, PPP KOMITED TERUS BERSAMA GABUNGAN
BN PAHANG CONTOH POLITIK INKLUSIF, PPP KOMITED TERUS BERSAMA GABUNGAN
BENTONG – Kepimpinan Barisan Nasional (BN) Pahang dilihat terus menjadi contoh politik inklusif apabila pendekatan pentadbiran kerajaan negeri dilaksanakan tanpa mengira kaum, sekali gus memberi ruang kepada kebangkitan semula Parti Progresif Penduduk (PPP) sebagai suara rakyat yang beradab.
Beliau berkata pendekatan itu membuktikan bahawa pembangunan negeri dilaksanakan secara menyeluruh demi kesejahteraan semua rakyat.
Timbalan Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Abdul Hamid Mohd Nazahar, yang mewakili Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pendekatan politik sederhana dan berteraskan khidmat kepada rakyat perlu menjadi asas kepada pembinaan semula kekuatan PPP di peringkat nasional.
Menurutnya, intipati ucapan pimpinan PPP sama ada di peringkat negeri dan pusat merangkumi tiga teras utama, iaitu tuntutan keadilan sosial, usaha membina semula parti serta komitmen memastikan masyarakat tidak terus terpinggir daripada arus perdana pembangunan.

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail – Pengerusi Barisan Nasional Pahang
“Dalam politik, apabila berdepan gelombang besar, di situlah lahir landskap baharu. PPP hari ini sedang melalui fasa kebangkitan sebagai parti yang berprinsip dan setia kepada rakan gabungan,” katanya ketika berucap pada program PPP Negeri Pahang, di sini.
Mengulas situasi politik negara, beliau berkata kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum 2018 menjadi ujian besar kepada kesetiaan parti komponen, namun kepimpinan baharu PPP memilih untuk kekal bersama BN walaupun berdepan cabaran.
“Ahli-ahli yang berada bersama hari ini, sama ada lama atau baharu, adalah pejuang yang percaya bahawa setia kawan adalah asas kekuatan sesebuah pasukan,” katanya.
Beliau turut memuji kepimpinan Presiden PPP Malaysia yang berjaya memenangi 21 kes mahkamah membabitkan hak milik, pengurusan dan aset parti, sekali gus membuka lembaran baharu perjuangan PPP.
“Kemenangan ini bukan penamat, sebaliknya menjadi titik permulaan untuk PPP kembali memainkan peranan lebih besar dalam membela kebajikan rakyat, khususnya masyarakat India di bandar, pinggir bandar, ladang dan perkampungan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kesetiaan PPP kepada BN tidak bermakna parti itu menjadi ‘pak turut’, sebaliknya berperanan sebagai suara rakyat yang bersuara secara berhemah dan berbudaya.
“Kita tidak perlu menjerit atau turun ke jalan raya. Rundingan di meja perbincangan secara beradab lebih berkesan dalam menyampaikan tuntutan,” katanya.

Menyentuh dasar kerajaan negeri, beliau berkata di bawah kepimpinan Datuk Seri Wan Rosdy, kerajaan Pahang tidak pernah mengamalkan sistem kuota kaum dalam pemberian bantuan pendidikan, kebajikan atau peluang keusahawanan.
“Selagi rakyat memenuhi syarat dan layak, mereka akan dibantu tanpa mengira Melayu, Cina, India atau Orang Asli. Ini prinsip keadilan yang diamalkan kerajaan Pahang,” katanya.
“Malaysia tidak boleh maju jika pembangunan hanya memihak kepada satu kaum. Kekuatan negara ini terletak pada perpaduan dan kerjasama semua masyarakat,” katanya.-SAHIH
