BN Jerantut nekad ambil semula 2 kerusi DUN terlepas pada PRU-14 lalu
BN Jerantut nekad ambil semula 2 kerusi DUN terlepas pada PRU-14 lalu
JERANTUT – Pastikan kemenangan calon Barisan Nasional dengan mengekalkan 2 kerusi iaitu Parlimen Jerantut dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar serta merampas kembali dua kerusi yang terlepas pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 tidak berulang.
Ketua Bahagian Umno Jerantut, Datuk Nazri Ngah mengingatkan perwakilan Umno dan ahlinya jangan leka mengakibatkan kekalahan kali kedua dengan DUN Damak dan DUN Tahan terlepas ke pihak lain.
Beliau mahukan semua jentera bergerak dengan bersistematik dalam menentukan kemenangan kepada calon Barisan Nasional pada PRU ke-15 yang bakal diadakan tidak lama lagi.
“Kita mahu ambil semula DUN Damak dan Tahan yang terlepas, kedua-dua DUN ini menjadi kerusi tradisi sebelum kekalahan PRU-14, maka jentera BN perlu bergerak lebih aktif untuk memastikan kemenangan calon BN.
“Kalau terlepas kali kedua semasa PRU-15, maka sukar untuk bangkit kembali untuk menawan kedua-dua kerusi ini di masa hadapan,” katanya kepada media ketika ditemui di kediamannya, hari ini.
Nazri berkata, jentera BN Umno Bahagian Jerantut dan cawangan sudah siap sedia menghadapi PRU kali ini dengan melengkapkan ‘pasukan kerja’ dan pembahagian kerja dan peranan telah ditetapkan.
“Kini, jentera PRU telah mengemaskini Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parlimen Jerantut sebanyak 54 dan sebanyak 17 PDM dalam DUN Pulau Tawar.
“Jentera Umno jangan lupa pengundi muda dan pengundi buat kali pertama sebanyak kira-kira 23,151 pengundi yang perlu didekati, pada PRU-14 sebanyak 63,746 pengundi dan kini meningkat kepada 86,897,” katanya.
Katanya, daripada kira-kira 23,151 pengundi baharu itu, Melayu, 82 peratus; Cina-12 peratus; India-3 peratus dan Orang Asli 2 peratus.
“Cara kempen kali ini dengan memperkasakan dari akar umbi ke atas, kempen bersistematik dan berhemah selain menggunakan isu semasa dengan intelek,” katanya.-SAHIH.