BIRD WATCHING PRODUK PELANCONGAN BAHARU PAHANG
BIRD WATCHING PRODUK PELANCONGAN BAHARU PAHANG
SIRKIT MELIHAT BURUNG DI SETIAP DESTINASI AKAN DIADAKAN TAHUN INI
JERANTUT : Bird Watching atau melihat burung akan menjadi produk baharu pelancongan untuk mengkaji spesies berasaskan keadaan geografi dan bentuk muka bumi seperti hutan, bukit, gunung, sungai dan paya atau sawah padi yang menjadi habitat dan kelainan spesies burung liar dan juga persinggahan burung hijrah.
Kerajaan negeri akan menjadikan program aktiviti melihat burung sebagai sirkit di setiap kawasan pelancongan mulai tahun ini untuk menarik ramai pengunjung dan peminat burung liar di Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, penganjuran aktiviti tersebut akan dibuka kepada penyertaan pelancong tempatan dan antarabangsa selepas pandemik COVID-19 pulih dan sempadan negara di buka.
“Sebenarnya aktiviti melihat burung Taman Negara Kuala Tahan sudah pun tersenarai dalam kalendar Tahun Melawat Pahang sejak aktiviti ini bermula lapan tahun lalu malahan penyertaannya juga melibatkan pelancong dan peminat burung liar dari seluruh dunia sebelum ancaman pandemik COVID-19.
“Usaha Bird Group Taman Negara (BGTN) yang sangat komited serta bersungguh menganjurkan aktiviti ini amat dipuji malahan program ini secara langsung antara pengisian agenda produk pelancongan baharu di Pahang yang bertemakan This is Pahang dilancarkan di Kuantan pada minggu lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan Taman Negara Bird Count (TNBC) kali kelapan di Kuala Tahan dekat sini hari ini.
Sempena majlis itu, Mohd Sharkar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lanchang turut menyempurnakan acara meletakkan pelekat tema baharu pelancongan Pahang tahun ini, iaitu This Is Pahang pada tiga kenderaan.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin; Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris dan Pengarah Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar.
Katanya, aktiviti sirkit melihat burung akan bermula di Taman Negara Kuala Tahan, Kampung Hulu Cheka, Paya Kangsar (Pulau Tawar), Bukit Fraser, Janda Baik, Chini, Rompin, Tioman dan beberapa lokasi lain sepanjang tahun ini.
“Kesemua sirkit di lokasi berkenaan akan ditentukan oleh BGTN dan Tourism Pahang berasaskan habitat serta kelainan spesies unggas liar menerusi susunan jadual aktiviti (sirkit) bagi membolehkan pelancong dan peminat burung liar menyertai acara tersebut.
“Program ini mampu menarik ramai pelancong dan peminat burung liar di Pahang sekali gus memulihkan semula sektor pelancongan termasuk para penggiat berkenaan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 sejak tahun lalu,” katanya.