BINA JALAN RUNTUH DI KUNDASANG AMBIL MASA
BINA JALAN RUNTUH DI KUNDASANG AMBIL MASA
RANAU: Menteri Kerja Raya Bung Moktar Radin berkata, kajian terperinci akan dibuat sebelum kerja pembaikan dan pembinaan semula Jalan Kota Kinabalu-Ranau berhampiran Taman Negara Kinabalu, di Kundasang, dimulakan.
Katanya, beberapa faktor perlu diambil kira sebelum ia dilaksanakan termasuk mengkaji dari segi pergerakan tanah supaya kejadian sama tidak berulang pada masa akan datang, lapor Free Malaysia Today.
“Kita akan bekerjasama dengan beberapa agensi untuk mengkaji perkara ini kerana kita mahu memastikan laluan ini selamat untuk kegunaan orang ramai lebih-lebih itu adalah laluan utama.
“Dari segi bajet, ia dijangka menelan kos antara RM30 hingga RM40 juta, yang sudah tersedia cuma kita perlu sedikit masa untuk membuat kajian sebelum (pembinaan) dimulakan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau keadaan jalan itu.
Dalam kejadian Rabu lalu, kawasan letak kereta di Taman Negara Kinabalu itu runtuh berikutan hujan berterusan.
Keadaan tanah runtuh yang menjejaskan Jalan Kota Kinabalu – Ranau, berhampiran Taman Negara Kinabalu, di Kundasang.
GAMBAR IHSAN FREE MALAYSIA TODAY
Kejadian turut menjejaskan laluan utama di kawasan itu dan kini hanya satu lorong dibuka bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
Sementara itu, Bung berkata, pihaknya menerima laporan sebanyak 100 jalan dan jambatan yang terjejas berikutan hujan berterusan di kebanyakan daerah di Sabah, baru-baru ini.
Katanya, tindakan segera sudah dilakukan pihaknya sejurus menerima laporan dan sehingga kini hanya tinggal 17 lagi jalan dan jambatan terjejas yang masih belum boleh dilalui.
“Di Sabah apabila hujan melanda lima hingga enam hari, sudah tentu banyak jalan dan jambatan yang terjejas dan pada peringkat awalnya lebih 100 jalan dan jambatan yang tidak dapat dilalui.
“Bagaimanapun, tindakan pantas JKR berjaya mengatasi masalah ini dengan membuat laluan sementara dan kini hanya tinggal 17 saja lagi yang tidak boleh dilalui langsung namun pihak kami sedang berusaha untuk menyelesaikannya,” katanya.