Bikers sebak ziarah warga emas, patahkan stereotaip imej garang
Foto : Azman (kiri) memberi penerangan mengenai nasib warga emas yang terlantar di atas katil kerana keuzuran kepada Anita bersama rakan bikers, Ajak Melissa dan Juril Duta.
Bikers sebak ziarah warga emas, patahkan stereotaip imej garang
KAJANG – Seramai 13 bikers kelihatan sugul dan bergenang air mata apabila berpeluang menyantuni warga emas yang disisihkan keluarga atau menjalani kehidupan sebatang kara dalam keuzuran.
Kehadiran mereka adalah atas inisiatif Anita Entertainment & Production yang konsisten menganjurkan program jelajah ‘kembara kemanusiaan’ sejak 2013.

Bikers merakamkan kenangan bersama Anita, Mohiadin dan Azman selepas menerima sijil penghargaan.
Pengarah Urusannya, Anita Yusop, berkata lawatan itu merupakan siri ke-64 program syarikatnya, melibatkan artis, media serta konvoi bikers motosikal berkuasa tinggi menerusi acara ‘Santai Selebriti Media dan Bikers’ bertemakan Masih Ada Yang Sayang.
Antara kumpulan bikers terlibat ialah Anita Bikers Group, Terjah Malaysia, SBK Kingdom Bikers, Iron Heart MC, Scorpion Bikers dan Wak Muji Bikers dari Johor.
Menurutnya, program santai yang dihadiri lebih 50 tetamu itu bertujuan menyantuni warga emas yang amat merindui perhatian dan kehadiran orang luar, memandangkan rutin harian mereka banyak dihabiskan di dalam pusat jagaan.
Suasana bertukar pilu apabila Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado, mendeklamasikan sajak nukilannya bertajuk Harapan Seorang Ibu dan Ayah yang meruntun jiwa.
Keceriaan kembali menyerlah apabila artis Ajak menyampaikan lagu popular Cinta Untuk Nabila, diikuti Juril Jumali, vokalis Duta, dengan lagu Tak Mungkin.
Program itu turut disokong pelbagai pihak yang menyediakan jamuan serta tajaan logistik, selain persembahan Pasukan Seni Silat Gayung Fatani Malaysia.
Anita berkata, inisiatif berkenaan menjadi suntikan misi kemanusiaan berterusan bagi tahun 2026, khususnya untuk warga emas, di samping mengangkat bikers sebagai duta kerja amal.
Sementara itu, Penasihat SBK Kingdom Bikers, Abdul Manaf Hanafi, berharap lebih ramai masyarakat tampil menghulurkan sumbangan kepada pusat jagaan warga emas.
Presiden Iron Heart MC, Ary, turut mengakui tersentuh hati dengan kisah warga emas yang diabaikan, sekali gus menyedarkan hadirin tentang pentingnya kasih sayang dan ihsan sesama insan.-SAHIH.
