BIGPAY TAWAR PINJAMAN
BIGPAY TAWAR PINJAMAN
KUALA LUMPUR: Penyedia dompet digital AirAsia Bhd, BigPay Later Sdn Bhd, bersama dengan tujuh syarikat komuniti kredit berlesen yang lain, telah mendapat persetujuan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menyediakan pinjaman dalam talian.
Menurut laporan Bernama, kelulusan itu diumumkan semasa sesi secara maya garis panduan pinjaman wang dalam talian KPKT yang dilancarkan oleh Menterinya, Zuraida Kamaruddin, semalam.
Tujuh syarikat lain ialah Axiata Digital Capital Sdn Bhd, Grabfin Operations (M) Sdn Bhd, GHL Payments Sdn Bhd, Presto Credit Sdn Bhd, JCL Credit Leasing Sdn Bhd, Fortune Tree Capital Sdn Bhd dan Hoop Fintech Sdn Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, berkata kelulusan itu adalah berita baik bagi BigPay dan beliau berharap ia dapat memberi peluang kepada orang ramai untuk berniaga serta menjalani kehidupan yang sempurna.
“Dalam tempoh pandemik COVID-19 ini, pembiayaan itu akan ditawarkan kepada golongan untuk B40 dan sasarannya adalah untuk mendapatkan pinjaman yang diluluskan dalam beberapa minit sahaja,” katanya.
Tony berkata walaupun B40 akan menjadi penerima terbesar daripada pinjaman tersebut, pembiayaan itu akan tersedia untuk kumpulan lain juga.
“Ini adalah teknologi hebat yang membolehkan orang ramai mendapat kadar pinjaman yang terbaik. Kami berharap AirAsia.com bukan hanya menjadi tempat anda membeli tiket penerbangan AirAsia, kami sedang membina aplikasi canggih.
“Kami menambah semakin banyak perkhidmatan, one–stop shop – kami mempunyai fintech, e–commerce, dan kami mempunyai beberapa produk lain,” kata Tony.