BIDAAN NOMBOR PLAT UM BERMULA RM1,000
BIDAAN NOMBOR PLAT UM BERMULA RM1,000
KUALA LUMPUR: Nombor pendaftaran kenderaan khas dengan awalan UM boleh dibida bermula esok, dengan harga bidaan minimum RM1,000.
Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor, berkata nombor pendaftaran itu adalah satu simbol unik yang dapat dipaparkan pada kenderaan dan ditawarkan kepada orang awam, lapor Bernama.
Beliau berkata, ia bukan sekadar nombor plat kenderaan, tetapi menjadi satu manifestasi seseorang sebagai warga UM.
“Pembida juga secara tidak langsung menjadi penyumbang kepada dana pembangunan, penyelidikan dan kebajikan pelajar UM.
“Penjualan nombor pendaftaran kenderaan UM antara inisiatif penjanaan pendapatan universiti, selain mempromosikan nama UM sebagai universiti terunggul dan antara yang terbaik di dunia,” katanya dalam kenyataan sempena pelancaran bidaan nombor pendaftaran itu, hari ini.
Mohd Hamdi berkata, inisiatif itu juga disasarkan akan menarik lebih ramai alumni UM memberi sumbangan kepada universiti itu, selain mengeratkan hubungan antara kedua-dua pihak.
Sesi bidaan pertama yang berlangsung selama lima hari bermula esok hingga 12 Mac ini menawarkan 100 nombor plat UM membabitkan tiga kategori iaitu Emas, Perak dan Gangsa serta bidaan boleh dilakukan menerusi laman web https://hebat.um.edu.my.
Katanya, UM adalah universiti terbaik di Malaysia dan berada di kedudukan 59 terbaik di dunia.