BICARA KES ROGOL ADUN TRONOH MAC DEPAN
IPOH: Mahkamah Tinggi Ipoh menetapkan sembilan hari bermula 30 Mac tahun depan bagi perbicaraan bekas Exco kerajaan negeri, Paul Yong Choo Kiong yang didakwa merogol pembantu rumahnya, lapor Malaysiakini.
Hakim Hashim Hamzah menetapkan tarikh perbicaraan dari 30 Mac hingga 2 April dan 5 hingga 9 April semasa pengurusan kes semalam.
Pihak pendakwaan dijangka memanggil 20 saksi manakala pasukan pembelaan dijangka memanggil tiga saksi pada perbicaraan akan datang.
Tarikh berkenaan ditetapkan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 15 Disember yang membenarkan rayuan ADUN Tronoh itu agar kes berkenaan dipindahkan dari Mahkamah Sesyen Ipoh ke Mahkamah Tinggi Ipoh.
Keputusan sebulat suara itu disampaikan oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.
Dua anggota panel hakim yang lain ialah hakim Mahkamah Persekutuan Mohd Zawawi Salleh dan Mary Lim Thiam Suan.
Untuk rekod, mangsa atau saksi utama dalam kes tersebut menunggu selama setahun dan kes berkenaan juga sedang dipantau oleh Malaysia dan Indonesia.
Pada 23 Ogos tahun lalu Yong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan memohon dibicarakan atas tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Meru Desa, antara jam 8.15 malam dan 9.15 malam pada 7 Julai 2019.
Yong sebelum ini bertindak keluar dari parti DAP dan menjadi Adun BEBAS.