Biarlah orang Pelangai sendiri tentukan nasib kami di sini
Biarlah orang Pelangai sendiri tentukan nasib kami di sini
BENTONG – Calon BN, Datuk Amizar Abu Adam sentiasa yakin bahawa penduduk dalam kawasan DUN Pelangai sudah matang dalam membuat keputusan.
Katanya, apa sahaja yang berlaku di Pelangai, hanya penduduk setempat sahaja lebih memahami.
“Orang luar boleh cakap macam-macam dan mereka boleh terus bercakap, tidak ada sesiapa nak halang mereka bercakap.
“Namun, walau apa pun yang dikatakan oleh orang luar, pastinya tidak akan berjaya merobek kuatnya semangat kekeluargaan antara kita di Pelangai,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya.
Beliau turut menegaskan bahawa orang luar hanya ‘datang dan pergi’ dan mereka tidak akan faham apa yang penduduk di sini perlukan.
“Kita tahu apa yang terbaik untuk tempat kita, kita tahu siapa yang betul-betul membantu kita.
“Ini Pelangai kita, kita sendiri yang akan bantu kita semua,” katanya lagi.
Sepanjang hari ini, Amizar meluangkan masa berkempen di kawasan Agropolitan Chemomoi dan bertemu jentera di situ.
Beliau juga sempat menunaikan solat Zohor berjemaah di surau Agropolitan itu bersama jentera parti.- SAHIH