Bersyukur raya tahun ini meriah
Foto atas: Amalan kunjung mengunjung memeriahkan Syawal tahun ini.
Bersyukur raya tahun ini meriah
JERANTUT – Setelah dua tahun tidak dapat menunaikan solat sunat Aidil Fitri disebabkan pandemik Covid-19, ramai bersyukur dapat bersama melakukan ibadah sunat itu pada tahun ini.
Selain itu, sanak saudara yang tinggal di luar tidak dapat pulang berhari raya kerana sekatan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang diarahkan, pada tahun ini bersyukur dapat pulang berhari raya.
Ketua Peneroka Jengka 24, Razak Daud berkata, pada tahun ini agak luar biasa kerana ramai anak rantau pulang berhari raya bersama keluarga tercinta.
“Mereka yang tinggal di luar daerah dan negeri Pahang, balik untuk bersama keluarga selain melepas rindu masing-masing.
“Alhamdulillah, jemaah solat sunat Aidil Fitri sangat ramai berbanding sebelumnya, kemeriahan menyambut hari raya kali ini sangat mengembirakan, amalan menziarah dari rumah ke rumah kembali hidup seperti tradisi yang lazim dibuat oleh penduduk setempat,” katanya.
Seorang anak rantau yang tinggal di Johor Bharu, Sulaiman Suhaimi berkata, di bandar Jerantut penuh kenderaan sehari sebelum sambutan hari raya kerana ada yang baru tiba dari perantauan.
“Pada malam raya lebih ‘meriah’ kerana ada yang mencari barangan pembelian secara terkejut kerana kebetulan 1 Syawal jatuh pada 2 Mei.
“Saya turut ke pasar ayam Jerantut selepas pengisytiharan 1 Syawal jatuh pada 2 Mei untuk mendapatkan bekalan pada malam raya, selain itu banyak premis perniagaan masih dibuka sehingga lewat tengah malam,” katanya.
Tinjauan Sahih mendapati pasar ayam Jerantut beroperasi sehingga hampir jam 4 pagi di malam 1 Syawal.