BERSATU Pahang Desak Batalkan LRT RM17 Bilion, Tuntut Dana Disalur Kepada Projek Air Bersih
BERSATU Pahang Desak Batalkan LRT RM17 Bilion, Tuntut Dana Disalur Kepada Projek Air Bersih
SHAH ALAM – BERSATU Pahang mendesak kerajaan membatalkan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang bernilai RM17 bilion, sebaliknya menyalurkan dana tersebut bagi menyelesaikan masalah bekalan air bersih yang masih membelenggu rakyat di beberapa negeri.
Ketua Penerangan BERSATU Pahang, Datuk Rofaie Hamdan berkata, kerajaan sepatutnya memberi keutamaan kepada keperluan asas rakyat, bukannya projek mega yang hanya memberi manfaat kepada segelintir pihak.
“RM17 bilion yang diumumkan dalam Belanjawan Pembangunan itu adalah duit rakyat, bukannya dana khas. Di Pahang, Sabah, Kelantan, Kedah dan Perlis, rakyat masih bergelut dengan isu gangguan air bersih setiap minggu.

Malah kadar Air Tidak Berhasil (NRW) di Pahang mencecah hampir 50 peratus, antara tertinggi di negara ini,” katanya ketika ditemui selepas membahaskan usul pada Persidangan Agung Tahunan BERSATU 2025 di sini.
Beliau menegaskan jumlah dana sebesar itu mampu menggantikan hampir 60 peratus paip kritikal di seluruh negara, sekali gus mengurangkan kadar NRW dan menjimatkan berjuta meter padu air yang terbuang.
“Kalau benar kerajaan ini prihatin, utamakanlah air bersih yang merupakan keperluan asas, lebih penting daripada mana-mana projek mewah lain,” katanya.-SAHIH