BERSATU CUMA SASAR KERUSI PARLIMEN BN KALAH DI PAHANG
BERSATU CUMA SASAR KERUSI PARLIMEN BN KALAH DI PAHANG
KUANTAN: Perikatan Nasional (PN) Pahang hanya mensasarkan kerusi Parlimen yang Barisan Nasional (BN) kalah pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) dan tidak bercadang untuk bertanding di kerusi yang disandang BN ketika ini.
Lima kerusi itu adalah di Parlimen Kuantan, Indera Mahkota, Bentong, Raub dan Temerloh.
Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Pahang, Mohd Yazid Mohd Yunus berkata, semua kerusi berkenaan ditandingi wakil daripada parti komponen BN dan tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH) ketika itu.
GAMBAR HIASAN
“Ini termasuklah kerusi Parlimen Indera Mahkota yang ketika itu Datuk Saifuddin Abdullah adalah daripada PH dan kita (PN Pahang) lihat ada kemungkinan untuk menang di lima kerusi itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) jika formula diguna pakai PN ketika ini diteruskan.
“Kita kena realistik dalam hal ini dan PN Pahang tidak bercadang untuk mengganggu kerusi (Parlimen) dipegang (dimenangi) BN.. kita melihat kepada tempat yang mereka kalah, jadi biarlah kami bertanding di situ dan sembilan lagi kerusi dewan undangan negeri (DUN) yang kini disandang pembangkang,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ucapan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika perbahasan ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2020, Ahad lalu mengenai hasrat BERSATU untuk bertanding di lima kerusi Parlimen di Pahang.
Sementara itu, Mohd Yazid berkata, BERSATU tidak bercadang untuk menjadi parti yang dominan dan bertanding di lima kerusi Parlimen berkenaan, selain menegaskan bahawa keputusan memilih calon daripada parti mana yang akan bertanding dibuat melalui persepakatan antara parti komponen dalam PN Pahang.
Walaupun tidak menolak kemungkinan berlaku pertembungan tiga penjuru pada PRU-15 jika isu antara Muafakat Nasional dan PN tidak diselesaikan dengan berhati-hati, namun beliau berpendapat perkara itu boleh dielakkan jika UMNO dapat bertolak ansur.
GAMBAR HIASAN
“Sepatutnya UMNO tidak perlu bimbang dengan kemampuan BERSATU dan mereka juga berulang kali mengatakan bahawa BERSATU bukanlah parti yang kuat, jadi berilah kami kerusi yang mereka kalah dan mereka (UMNO) boleh terus mempertahankan kerusi yang mereka menang.
“Kita (PN Pahang) tidak minta lebih daripada mereka (UMNO) dan melalui kerjasama dengan PAS dan GERAKAN, kita percaya kita mampu merampas kembali semua lima kerusi Parlimen terbabit, termasuk mempertahankan kerusi (Parlimen) Indera Mahkota dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Ketika ditanya mengenai persediaan PN Pahang dalam menghadapi PRU-15, Mohd Yazid berkata, pertemuan dengan semua barisan pimpinan daripada parti dalam PN negeri sudah dilakukan dan mesyuarat bersama pimpinan BERSATU Bahagian Rompin akan diadakan minggu pertama bulan depan.
“Mesyuarat PN Pahang kali pertama sudah selesai dan mesyuarat seterusnya kita jadualkan selepas sambutan Aidilfitri nanti, manakala pertemuan dengan barisan pimpinan BERSATU peringkat negeri juga sudah hampir selesai dan yang terakhir di Rompin tidak lama lagi,” katanya.
Mesyuarat dan penubuhan PN Pahang sudah dimuktamadkan pada 26 Mac lalu dengan dipengerusikan Pengerusi Badan Pimpinan BERSATU negeri, Datuk Saifuddin Abdullah.
Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Jabar, Pengerusi GERAKAN negeri, Ranndy Yap Kim Heng dan Mohd Yazid pula dilantik sebagai naib ketua PN mewakili ketiga-tiga parti pada mesyuarat kali pertama itu.