BERSATU CADANG MANSUH JAWATAN PENGERUSI
KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU yang akan berlangsung secara maya esok (hari ini) dijangka membincangkan pemansuhan jawatan pengerusi parti itu.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Mohd Redzuan Md Yusof berkata, isu itu sudah dibincangkan di peringkat pucuk pimpinan parti.
BEKAS PENGERUSI BERSATU, DR MAHATHIR MOHAMAD
“Mengenai pemansuhan jawatan pengerusi, perkara itu betul dan bukan ura-ura. Kita dah bincang pun dan saya berasa mendapat sokongan kebanyakan ahli untuk memantapkan pengurusan parti itu sendiri.
“Sebabnya kita tidak mahu ada dua kapten dalam satu kapal, jadi kita cuma mahu ada presiden,” katanya dalam satu rancangan temubual disiarkan Malaysiapost.
Sementara itu, Redzuan berkata, pemansuhan jawatan itu memerlukan pindaan terhadap perlembagaan parti.
Buat pertama kali perhimpunan agung tahunan parti itu akan diadakan secara dalam talian dan Setiausaha Agung, Hamzah Zainudin menerusi kenyataan berkata, persidangan akan disertai perwakilan dari seluruh negara yang berkumpul di pejabat badan perhubungan negeri serta hotel tertentu.
Jawatan Pengerusi BERSATU sebelum ini disandang oleh Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir digugurkan keahlian dari BERSATU Mei lalu.
Selain Dr Mahathir, turut dipecat ialah Mukhriz Mahathir, Amiruddin Hamzah, Dr Maszlee Malik dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.