BERSATU Bera jawab KEADILAN, dakwa SST bebankan rakyat marhaen
BERSATU Bera jawab KEADILAN, dakwa SST bebankan rakyat marhaen
BERA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Bera menempelak kenyataan KEADILAN Cabang Bera yang menyifatkan desakan terhadap pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebagai retorik populis dan tidak berpijak di bumi nyata.
Ketua Bahagian Bersatu Bera, Datuk Seri Asmawi Harun, berkata KEADILAN cuba mengalihkan perhatian daripada realiti kehidupan rakyat yang kini berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin mencengkam.
“KEADILAN boleh bercakap soal kutipan RM30 bilion, tetapi mereka gagal melihat kesan langsung SST terhadap golongan B40 dan M40. Rakyat yang membeli barang dapur, membayar bil utiliti atau menaiki pengangkutan awam turut dikenakan cukai. Ini bukan retorik, ini realiti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, BERSATU tidak pernah menggesa agar SST dihapuskan serta-merta, sebaliknya mencadangkan kajian semula terhadap struktur percukaian agar lebih adil dan progresif.
“Biar jelas, kita bukan mahu memotong perkhidmatan seperti kesihatan atau pendidikan. Kita mahu cukai yang tidak menindas rakyat marhaen, dan pada masa sama memperluas asas percukaian kepada mereka yang benar-benar mampu,” katanya.
Mengulas sindiran KEADILAN yang menyebut kononnya BERSATU mengalami ‘amnesia fiskal’, beliau menyifatkan kenyataan itu sebagai dangkal dan memperlekeh usaha pembangkang menyuarakan keresahan rakyat.
“Mereka soal dari mana sumber pendapatan negara jika SST dikaji semula? Jawapan kami mudah – perangi ketirisan, tutup ruang pembaziran, dan kenakan cukai sewajarnya kepada golongan kaya dan syarikat besar,” tegasnya.
Justeru, beliau menegaskan bahawa fungsi pembangkang adalah menyemak dan mengimbangi dasar kerajaan, bukan berdiam diri atau menyokong dasar yang menambah beban rakyat.-SAHIH
