BERNAS Perluas Program PROMAK ke Pahang, Bantu Murid Orang Asli
BERNAS Perluas Program PROMAK ke Pahang, Bantu Murid Orang Asli
KUALA LIPIS – Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) memperluaskan Program Makanan Kesihatan (PROMAK) ke Pahang bagi menangani masalah malnutrisi dalam kalangan murid Orang Asli.
Pengerusi BERNAS, Datuk Sri Rohani Abdul Karim, berkata program ini memastikan murid sekolah rendah mendapat makanan berkhasiat bagi menyokong tumbesaran dan prestasi akademik mereka.
“Setiap murid berhak mendapat makanan seimbang supaya lebih sihat dan bersedia untuk belajar,” katanya pada majlis pelancaran PROMAK di Sekolah Kebangsaan Kuala Koyan.
Sejak dilancarkan pada Januari 2022, PROMAK telah membantu lebih 20,000 murid dari 97 sekolah di Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan kini di Pahang.
Dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), seramai 1,500 murid Orang Asli di empat sekolah terpilih di Pahang telah menerima manfaat ini sejak Oktober 2023.
Laporan Data SEGAK di Kedah menunjukkan program ini berjaya mengurangkan kadar murid kurang berat badan daripada 12% pada 2023 kepada 9% pada 2024.
Kerajaan turut serius menangani isu malnutrisi, selaras dengan laporan Program Makanan Sedunia (WFP) yang menyatakan 1.6 juta kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah kekurangan zat makanan.
“Menangani masalah ini adalah tanggungjawab bersama. Kita mahu anak-anak membesar dengan sihat dan cerdas,” kata Datuk Sri Rohani.
Majlis pelancaran turut dihadiri Menteri Besar Pahang,Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail, yang menghargai inisiatif BERNAS dalam membantu komuniti di pedalaman negeri Pahang dan juga seluruh daerah daerah negeri Pahang yang memerlukan.-SAHIH