Berkawan Dalam Penjara, Tubuh Geng Bhai, Hijack Lori
Berkawan Dalam Penjara, Tubuh Geng Bhai, Hijack Lori
MARAN : Perkenalan dalam penjara membawa kepada penubuhan kumpulan samun kargo paling aktif di Pahang, apabila enam lelaki termasuk ketua geng berusia 56 tahun dikesan kembali melakukan jenayah walaupun masih berada dalam tempoh parol.
Timbalan Ketua Polis Pahang, DCP Datuk Azry Akmar Datuk Ayob, berkata risikan mendapati semua suspek saling mengenali ketika menjalani hukuman di penjara sebelum kembali bergiat aktif selepas dibebaskan.
Kumpulan yang dikenali sebagai Geng Bhai itu dipercayai terbabit dalam dua kes samun lori treler bermuatan besi serta kabel drum PVC TNB, selain lima kes kecurian lori, treler, forklift dan kenderaan lain di beberapa daerah di negeri ini dengan jumlah kerugian dianggarkan RM659,000.

“Ketua kumpulan itu masih dalam tempoh parol yang dijangka tamat Mac 2026 namun kembali merekrut ahli baharu yang turut mempunyai rekod jenayah dan dadah,” katanya.
Berikutan itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang melancarkan Op Kargo, sebelum pasukan D9 melakukan beberapa siri tangkapan antara 21 hingga 29 November lalu di Senawang (Negeri Sembilan), Klang (Selangor) dan Bentong.
Enam lelaki ditahan masing-masing seorang lelaki Sikh Muslim, seorang lelaki India dan empat lelaki Melayu berusia antara 24 hingga 56 tahun.
Turut dirampas ialah treler, sebuah forklift, lori towing, kereta Perodua dan Proton, 10 drum kabel PVC TNB serta peralatan pemotong besi dan kabel.
Hasil soal siasat mendapati kumpulan itu mengaku terbabit dalam lapan kejadian samun dan curi kenderaan di Pahang dan Selangor.
Menurutnya, modus operandi mereka adalah ‘hijack’ lori treler yang berhenti berehat di tepi jalan.
“Mereka mengikat pemandu sebelum membawa mangsa meronda dalam keadaan mata ditutup dan meninggalkannya di lokasi sunyi, manakala lori dan muatan pula dibawa ke pusat pemunggahan yang disewa khas di luar Pahang,” katanya.
Polis turut mengenal pasti tiga lagi ahli kumpulan itu yang masih bebas, iaitu Kishan Singh A/L Kretar Singh, 41, dari Rawang; Muhammad Farhan Subri, 23, dari Bedong, Kedah; dan seorang lelaki hanya dikenali sebagai Raja.
Azry menasihatkan pemandu lori supaya lebih berhati-hati dan memilih lokasi selamat ketika berhenti berehat agar tidak menjadi sasaran kumpulan penjenayah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 379A Kanun Keseksaan.-SAHIH
