Beri saya peluang ‘rawat’ Maran- Shahaniza
Beri saya peluang ‘rawat’ Maran- Shahaniza
Pembangunan di daerah Maran seolah-olah ‘diperlahankan’ sejak empat penggal lalu, kata calon Barisan Nasional (BN) parlimen Maran, Shahaniza Shamsuddin.
Dia mengakui sebagai seorang daripada penduduk daerah itu rasa seperti dipinggirkan daripada arus pembangunan dinikmati daerah lain di Pahang.
“Maran ini sebenarnya lokasi strategik, tetapi tak tahu kenapa ia ketinggalan berbanding daerah lain.
“Sebab itulah misi dan visi saya, sekiranya diberi mandat selepas ini, kita bawa lebih banyak lagi pelabur datang ke Maran,” katanya ketika ditemui di Maran.
Shahaniza sebelum ini menjadi wakil rakyat bagi kerusi dewan undangan negeri (DUN) Kuala Sentul sejak 2008.
Dia dipilih BN Pahang bertanding di kerusi parlimen Maran pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) menggantikan penyandang kerusi itu, Ismail Abd Muttalib.
Ismail adalah bekas ketua Umno Maran dan memenangi kerusi parlimen itu sejak tahun 2004.
Dia bagaimanapun tewas kepada Shahaniza dalam pemilihan Umno peringkat bahagian Maran pada tahun 2018.
Ismail tidak terpilih sebagai calon BN Pahang di kerusi Maran dalam PRU15 dan kemudiannya mengumumkan akan cuba mempertahankan kerusi itu melalui Perikatan Nasional (PN).
Tindakannya itu menyaksikan dia dipecat daripada Umno, parti yang disertainya sejak tahun 1982.
Shahaniza yang juga Exco Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang mengakui daerah Maran mempunyai banyak potensi yang belum diteroka sepenuhnya.
Katanya, keunikan nama tanah rancangan FELDA- FELDA New Zealand yang berada dalam kawasan Maran juga tidak dimanfaatkan untuk dijadikan tarikan pelancong.
“FELDA New Zealand ini sebagai contoh, dia dah ada ‘branding’- New Zealand, bila orang sebut New Zealand orang tanya kat mana.
“Jadi, saya fikir dan galakkan penduduk di situ merancakkan sektor inap desa, kita bawa pelancong datang dan tengok cara hidup masyarakat di FELDA, itulah yang kita nak,” katanya lagi.
Ditanya mengenai perancangan jangka panjang pula, dia memberitahu, sekurang-kurangnya ada satu pusat pengajian tinggi diwujudkan di Maran.
“Kita kena ada pelan jangka pendek dan jangka panjang, kalau jangka panjang, kalau boleh kita nak ada IPT (institusi pengajian tinggi) di sini, ada macam-macam lagi kat Maran ni.
“(sekarang)’mall’ pun takde.. ‘super market’ pun ada satu je, itulah antara benda disuarakan anak muda yang sempat saya temui.
“Kalau kita tengok bandar Maran sendiri pun, sunyi… orang kata macam ‘bandar mati’ kan, kita tak nak lagilah, kita nak dalam tempoh lima tahun lagi, kita boleh bawa kemajuan ke Maran,” katanya.
Shahaniza juga yakin projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka siap kira-kira dua atau tiga tahun lagi, dapat membantu meningkatkan taraf sosio-ekonomi setempat.
Katanya, pemilihan Maran sebagai salah satu hentian kargo dan penumpang juga bakal merancakkan pelaburan di daerah ini.
“Memang saya tidak nafikan projek ECRL ini menjadi ‘spill over factor’ kepada pembangunan dan (peluang) ekonomi di Maran.
“Sebab itulah saya lihat keperluan untuk memastikan BN menang di sini (Pahang) dan di peringkat Pusat, kerana apabila kerajaan yang sama (memerintah), jadi lebih mudah untuk membuat apa-apa keputusan,” katanya.-SAHIH