PENTADBIR ADA KUASA TUTUP SEKOLAH
BERI PENTADBIR SEKOLAH BUAT KEPUTUSAN TUTUP SEKOLAH
JERANTUT : Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) mahu pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi kuasa autonomi kepada pihak pentadbir sekolah yang terpalit dengan gejala COVID-19 ditutup sementara dengan segera.
Presidennya, Jasni Md Kechik berkata, sejak kebelakangan ini terdapat banyak kawasan dikategorikan zon merah dan kuning dan menimbulkan keraguan di kalangan waris untuk membenarkan anak mereka ke sekolah.
“Diharap pihak pentadbir sekolah terbabit dibenarkan menutup sekolah sekiranya berlaku penularan wabak di kalangan pelajar, guru dan kakitangan sekolah berkaitan bagi menghindari dan memutuskan rantaian COVID-19.
“Hanya pentadbir sekolah berkenaan sahaja yang sangat maklum dengan situasi sebenar dengan kepastian dan sokongan pihak pusat kesihatan daerah sebagai sekolah yang telah dilanda wabak yang telah masuk ke dalam sekolah terbabit,” katanya.
Beliau berkata, penutupan sesebuah sekolah akibat COVID-19 dibuat atas saranan serta nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tetapi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah terbabit lebih maklum situasi sebenar.
“Sikap tunggu dan lihat yang lazim digunakan melambatkan keputusan segera dilakukan, sedangkan keadaan sebenar telah terjadi dan harus menguruskan murid di sekolah terbabit untuk menggelakkan wabak daripada terus merebak.
“Pertimbangan sama juga wajar diberikan kepada PPD dan pentadbiran sekolah itu sendiri supaya tindakan dan keptusan dilakukan secara pantas,” katanya.
Katanya, pada masa ini sangat menggusarkan waris kerana berdasarkan bilangan kes baharu yang melebihi angka 300 dan jika dibandingkan angka kes baharu ketika peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan yang mula dilaksanakan pada 18 Mac lalu tidak setinggi ini.