BERDEPAN SAMAN RM2 JUTA
Berita Mahkamah
BERDEPAN SAMAN RM2 JUTA
JOHOR BAHRU: Personaliti media sosial berdepan saman lebih RM2 juta susulan tindakannya yang didakwa menghina bentuk fizikal seorang wanita menerusi Facebook (FB) secara langsung, pada 18 Ogos lalu.
Peguam bagi pihak Suharnizan Md Sidek, 37, iaitu Mohd Rasheed Hassan berkata, saman sudah difailkan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru dan kemudiannya akan diserahkan kepada pihak personaliti itu.
“Hari ini saman sudah didaftar di mahkamah dan petang ini saya sudah terima emel dari tetuan Yahaya Ahmad & Co dari Sungai Petani, Kedah, yang mengatakan bertindak bagi pihak Eira Aziera atau nama penuhnya adalah Noorazira Pissal, 37.
“Jadi Saman dan Pernyataan Tuntutan akan diserahkan menerusi emel dan kurier kepada peguam Eira (personaliti) dan dalam tempoh 14 hari, kehadiran perlu difailkan.
“Dalam 14 hari selepas itu, pembelaan perlu difailkan. Tarikh sebutan pertama di Mahkamah Tinggi Johor Bahru adalah pada 11 November depan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohd Rasheed berkata, sebutan pada 11 November depan itu akan dibuat secara atas talian dengan pendaftar dulu saja.
Sebelum ini, media melaporkan Suharnizan yang juga Pesuruhjaya Sumpah mendakwa personaliti itu mengeluarkan kata-kata kesat termasuk memaparkan gambarnya serta anaknya tanpa pengetahuan dan kebenaran pihaknya selepas dia meninggalkan komen di ruangan komen media sosial personaliti terbabit.
Katanya, insiden yang berlaku kira-kira jam 10 pagi, 18 Ogos lalu, dipercayai bermula apabila dia menulis komen live masak, live makan-makan, letak produk kurus, boleh kurus ke? menerusi video secara live yang dikongsikan rakannya di laman terbabit.
Pada 14 September lalu, pihak Suharnizan dimaklumkan terdapat satu paparan video yang dimuatnaik dan dikongsikan di media sosial oleh pentadbir laman FB yang menggunakan nama Makcik Bawang Channel dan Makcik Kiah Channel dengan kandungan video selama lapan minit memaparkan antara lain menghina rupa fizikalnya sehingga tular mencapai ribuan pautan serta komen.
Susulan itu, laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, pada 15 September lalu.
Peguam bagi pihak Suharnizan iaitu Mohd Rasheed memaklumkan walaupun terdapat permohonan maaf yang dibuat secara langsung menerusi FB influencer itu, namun isu body shaming boleh didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sumber – BH Online