BENGKEL KERETA JADI SARANG PENAGIH DADAH
BENGKEL KERETA JADI SARANG PENAGIH DADAH
BENTONG: Tujuh orang lelaki warga tempatan berusia antara 30 hingga 58 tahun ditangkap dalam Op Sarang Khas di sekitar FELDA Chemomoi, Manchis dan Karak, Bentong, kelmarin.
Dalam operasi pertama, pasukan operasi dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibupejabat Polis (IPD) Bentong bersama anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang telah menyerbu dan memeriksa sebuah bengkel kereta di FELDA Chemomoi.
Pemeriksaan dilakukan di bengkel itu dan menjumpai dadah dipercayai syabu dianggarkan seberat 12.23 gram yang bernilai RM 1,250 serta menahan tiga orang lelaki berusia antara 30 hingga 46 tahun yang berada di dalam bengkel itu ketika serbuan dilakukan.
Ketua Polis Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, bengkel itu dikatakan menjadi sarang kepada penagih dadah di kawasan tersebut, manakala seorang lagi lelaki berusia 44 tahun yang berada di luar bengkel itu turut ditahan.
“Hasil pemeriksaan pihak polis menjumpai dadah jenis syabu dianggarkan seberat 6.65 gram dan bernilai kira-kira RM 600.
“Pada malam yang sama, kira-kira jam 9.15 malam, serbuan telah dilakukan di sebuah rumah di FELDA ini dan menahan seorang lelaki berusia 58 tahun dan menjumpai dipercayai dadah jenis heroin, anggaran berat 0.68 gram,” katanya.
Katanya, operasi kedua di sebuah rumah di kawasan perumahan di Karak turut menahan dua lelaki kerana dipercayai memiliki dadah jenis syabu dengan berat kira-kira 0.36 gram dan disiasat di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952.
GAMBAR IHSAN PDRM
“Semua suspek yang ditangkap didapati positif dadah berdasarkan saringan awal polis dan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (A) ADB 1952. Semua direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan siasatan selanjut akan dilakukan.
“Masyarakat dinasihatkan agar jauh daripada aktiviti yang tidak bermoral ini, pihak polis akan terus menjalankan operasi di lokasi yang dikenal pasti,”katanya.
.