BENGKEL ASAS BINA BADAN CETUS MINAT KECERGASAN MURID SJKT JERANTUT
BENGKEL ASAS BINA BADAN CETUS MINAT KECERGASAN MURID SJKT JERANTUT
JERANTUT – Seramai 100 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jerantut menyertai Bengkel Asas Bina Badan anjuran Kelab Bina Badan KJEY, yang berlangsung di sini pada 28 November.
Program yang ditaja ElangKathir Enterprises itu memberi pendedahan awal kepada murid berusia bawah 12 tahun mengenai asas kecergasan, teknik bina badan dan kepentingan gaya hidup sihat.
Pengerusi program merangkap Pengerusi Kelab Bina Badan KJEY, Dr K. Jey Prabakaran Thevar, berkata kelab komited memperkasa pendidikan kecergasan terhadap murid sekolah melalui penganjuran program berstruktur dan selamat.

Menurutnya, memperkenalkan sukan bina badan kepada murid sejak peringkat awal mampu membentuk disiplin, keyakinan diri dan kesedaran terhadap penjagaan tubuh badan.
“Pendedahan awal seperti ini membantu mereka belajar teknik pergerakan yang betul, memahami asas kecergasan dan mengenal pasti rutin senaman yang sesuai mengikut umur,” katanya.
Beliau berkata, kelab merancang memperluaskan program seumpama itu ke sekolah lain di daerah ini dan seluruh Pahang bagi menggalakkan gaya hidup aktif dalam kalangan generasi muda.
Program sehari itu merangkumi sesi teori dan praktikal termasuk latihan regangan, pengenalan otot asas serta pergerakan senaman ringan yang dipantau jurulatih berpengalaman.

Kelab Bina Badan KJEY turut berharap lebih banyak agensi dan penaja tampil bekerjasama bagi menjayakan program pembangunan kecergasan khusus untuk kanak-kanak pada masa hadapan.-SAHIH
