Benam juara dunia, Zii Jia kekal reputasi cemerlang
Benam juara dunia, Zii Jia kekal reputasi cemerlang
Foto atas : Lee Zii Jia cemerlang selepas menumpaskan juara dunia, Loh Kean Yew dari Singapura pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA -Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia berjaya mengekalkan reputasi cemerlang selepas dengan mudah menumpaskan juara dunia, Loh Kean Yew dari Singapura, sebentar tadi.
Dalam ciapan di Twitter Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Zii Jia menewaskan Kean Yew 21-6, 21-14 dalam aksi pertama membabitkan Malaysia bertemu Singapura dalam aksi Kumpulan B Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2020.
Prestasi cemerlang ditonjolkan Zii Jia itu membolehkan skuad negara mendahului 1-0.
Mula bergerak secara profesional selepas meninggalkan BAM, kemenangan hari ini membuatkan Zii Jia berada di kedudukan ranking nombor tujuh dunia menyamakan kedudukan rekod pertemuan menjadikan 2-2 dengan Kean Yew.
Selain Zii Jia, cabaran perseorangan negara akan turut digalas Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Hao, Lim Chong King dan Kok Jing Hong.
Dalam beregu pula, Malaysia diperkuatkan oleh pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Cheah-Soh Wooi Yik, selain Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.