BELIDA 8 KG DITAWAN DALAM MASA 10 MINIT
BELIDA 8 KG DITAWAN DALAM MASA 10 MINIT
LIPIS : Mokhtar Mohamad, 55, cuma mengambil masa 10 minit sahaja mampu meraih rezeki kira-kira RM200 kerana mata kailnya dengan umpan anak udang direntap seekor ikan belida seberat 8 kilogram di Sungai Jelai, dekat sini.
Tuah menyebelahinya hari ini apabila memperoleh seekor ikan Belida atau nama saintifiknya, notopterus chitala ketika turun memancing di sungai itu berdekatan Kampung Ganding, dekat sini hari ini.
Mokhtar yang juga pengusaha ternakan ikan sangkar di kampung tersebut berkata, dia tidak menyangka memperoleh spesies ikan liar yang mempunyai permintaan di pasaran sejak mengalih tumpuan kepada aktiviti memancing setelah ternakan sangkarnya tidak mendapat pasaran berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Biasanya setiap pagi dan petang sejak PKP awal tahun ini, ketika memancing saya hanya memperoleh ikan patin, kerai, lawang dan sebagainya bersaiz kecil serta beratnya kurang daripada satu kilogram sambil melihat keadaan ikan sangkar saya.
“Tetapi tuah menyebelahi saya hari ini apabila mata kail yang dipasang umpan anak udang direntap oleh seekor ikan belida berdekatan dengan ternakan sangkar di sungai ini,” katanya di Kampung Ganding, dekat sini hari ini.
Katanya, ikan belida ini seberat lapan kilogram akan dijual kepada pengusaha restoran di bandar Kuala Lipis kebetulan sudah ada permintaan ikan sungai itu.
“Ikan belida tidaklah semahal seperti ikan patin dan ikan kelah cuma berharga RM25 sekilogram dan memperoleh RM200 setelah dipasarkan kepada pengusaha berkenaan.
“Bolehlah menampung belanja keperluan dapur untuk keluarga dalam tempoh penguatkuasaan PKP ini kerana hendak mengharapkan hasil jualan ikan ternakan sangkar semakin tenat berikutan kurang permintaan di Kuala Lipis dan dari luar,” katanya.-SAHIH.