Belia Felda sambut saranan lantik wakil sebagai Ahli Lembaga Pengarah Felda
Belia Felda sambut saranan lantik wakil sebagai Ahli Lembaga Pengarah Felda
JERANTUT – Golongan belia menyambut baik saranan kerajaan bersetuju untuk melantik wakil belia Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sebagai Ahli Lembaga Pengarah Felda.
Saranan itu disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Belia Felda Malaysia, Kami Anak Felda (KAF) dan Permuafakatan Siswa/Siswi FELDA (PERSADA) di Menara Felda di sini,baru-baru ini.
Ketua Peneroka Jengka 24, Razak Daud berkata, ketetapan itu dibuat sebagai mengiktiraf peranan belia Felda dan sama-sama membantu serta membangunkan tanah rancangan berkenaan.
“Perkara seperti ini membangkitkan semangat belia di Felda untuk terus untuk memajukan diri mereka di samping berbakti kepada negara.
“Pengiktirafan peranan belia Felda mula mendapat perhatian kerajaan bagi menampung kelompongan kepimpinan di peringkat akar umbi di kwasan Felda dan boleh dibawa ke peringkat atas sebagai membawa suara belia Felda,” katanya.
Seorang anak Felda dan ahli Majis Belia Felda Malaysia (MBFM), Muhamad Idham Zulmi berkata, menyambut baik saranan tersebut untuk golongan belia lebih memberi tumpuan kepada kepimpinan di peringkat Felda masing-masing.
“Saranan ini memberi kekuatan kepada golongan belia untuk terus menyokong kerajaan bagi kestabilan ekonomi negara.
“Sudah lama golongan belia Felda memberi kerjasama dan sokongan kepada Felda tempat tinggal masing-masing dan sampai masa tokoh muda diberi peluang untuk menjawat jawatan tinggi,” katanya.-SAHIH.