Beli udang karang, kena tipu wang dan ditukar barang
Beli udang karang, kena tipu wang dan ditukar barang
SABAH– Seorang pelanggan mendakwa menjadi mangsa penipuan ketika membeli udang karang (lobster) selepas wang tunai yang dibayar didakwa palsu dan barangan yang diterima pula tidak sama dengan yang dipilih.
Mangsa menceritakan kejadian itu berlaku ketika dia berurusan dengan seorang peniaga dikenali sebagai Xiao Hei yang menjual udang karang pada harga RM250 seekor.
Katanya, urus niaga dibuat secara tunai dan ketika wang diserahkan, lelaki berkenaan tiba-tiba menuduh wang yang diberi adalah palsu.
“Saya tunjuk wang yang dikeluarkan dari mesin ATM di lapangan terbang, tetapi dia tetap kata duit itu tipu.
Ketika dia pura-pura memeriksa wang, saya nampak tangan kirinya menurunkan sesuatu ke bawah, manakala dua lagi rakan yang memakai baju putih dan biru menutup pandangan,” katanya.
Menurutnya, ketika peniaga itu berpura-pura memeriksa wang, dipercayai berlaku pertukaran udang karang yang asal dengan saiz lebih kecil.
“Selepas mereka selesai ‘berlakon’, barulah kata wang saya sebenarnya tidak palsu, tapi masa tu saya perasan udang karang dah bertukar — jadi saya segera ambil semula duit saya,” katanya.
Mangsa turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila membeli makanan laut, terutama di kawasan pelancongan.
“Kalau boleh, bawa sendiri beg atau bekas dan pastikan barang diperiksa sebelum bayar,” katanya.-SAHIH