BELI LUAR KEMAMPUAN, BELI DAHULU BAYAR KEMUDIAN CEKEK DARAH!
BELI LUAR KEMAMPUAN, BELI DAHULU BAYAR KEMUDIAN CEKEK DARAH!
Pembelian secara ansuran melalui kaedah ‘Beli Dahulu, Bayar Kemudian’ (BNPL) boleh membawa membawa risiko hutang yang boleh membebankan jika tidak diurus dengan baik.
Hari ini, BNPL semakin popular dalam kalangan rakyat kerana ia membolehkan pembelian dilakukan tanpa perlu membayar jumlah penuh serta-merta. Pembeli hanya perlu membuat bayaran kecil secara ansuran bulanan, menjadikannya kelihatan lebih ‘ringan’ di dompet
Namun, kajian menunjukkan penggunaan BNPL tidak terkawal boleh membawa kepada hutang berpanjangan. Statistik menunjukkan jumlah transaksi BNPL meningkat kepada RM7.1 bilion pada separuh kedua 2024, iaitu kenaikan lebih 44 peratus berbanding separuh pertama tahun sama.
Menurut Kementerian Kewangan, terdapat lebih 5.1 juta pengguna BNPL masih aktif sehingga penghujung 2024, dengan majoritinya berusia antara 21 hingga 45 tahun serta berpendapatan bawah RM5,000 sebulan.
Walaupun ramai menganggap kaedah ini sebagai penyelesaian mudah dalam pembelian, hakikatnya sekitar 40 peratus pengguna BNPL menghadapi kesukaran membayar ansuran, menyebabkan mereka dikenakan caj penalti sekali gus menambah beban kewangan.
Pelbagai platform BNPL popular di Malaysia. Walaupun kebanyakan platform ini menawarkan ansuran tanpa faedah dalam tempoh tertentu, kegagalan membuat pembayaran mengikut jadual boleh membawa risiko besar seperti dikenakan caj RM10 jika lewat membayar dan ada akaun disekat sekiranya hutang tidak dilunas.
Ini menunjukkan walaupun BNPL kelihatan mudah dan fleksibel, ia tetap mempunyai risiko kewangan yang boleh membebankan pengguna sekiranya tidak digunakan dengan bijak.
Salah satu risiko utama BNPL ialah perbelanjaan yang melebihi kemampuan kewangan. Oleh kerana pengguna tidak perlu membayar jumlah penuh ketika membuat pembelian, mereka lebih cenderung membeli barangan yang sebenarnya di luar kemampuan sekiranya dibayar secara tunai.
Keadaan ini boleh menyebabkan peningkatan hutang yang membebankan serta tekanan kewangan, terutama selepas musim perayaan. Selain itu, caj penalti dan kadar faedah tersembunyi dikenakan akibat kelewatan pembayaran boleh menjadikan jumlah hutang BNPL jauh lebih tinggi daripada jangkaan asal.-SAHIH.
Sumber asal : Berita Harian