BELASAH SAMPAI MATI, 16 SEKELUARGA DITAHAN
BELASAH SAMPAI MATI, 16 SEKELUARGA DITAHAN
Kuala Langat: 16 sekeluarga ditahan selepas disyaki terbabit dalam kejadian membabitkan kematian seorang lelaki di Ladang Baru Kelanang di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, semua suspek yang berusia dalam lingkungan 17 tahun hingga 60-an itu ditahan antara jam 1 hingga 3 pagi semalam, di lokasi kejadian
Menurutnya, polis menahan ahli keluarga termasuk ibu bapa, adik-beradik dan saudara mara terdekat mangsa.
“Mereka yang terdiri daripada lapan perempuan dan lapan lelaki dewasa itu dipercayai berada di tempat kejadian ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Ridhwan, kira-kira jam 10.15 malam tadi, Hospital Banting memaklumkan seorang pesakit yang dihantar oleh ambulans meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan hospital itu akibat kecederaan dipukul.
“Hasil siasatan mendapati si mati adalah seorang penganggur, berumur awal 30-an dari ladang berkenaan dan dipercayai dipukul oleh beberapa ahli keluarga iaitu ibu, ayah, adik-beradik dan saudara mara terdekat.
“Kejadian berlaku pada jam 6.30 petang di mana mangsa dalam keadaan mabuk datang ke rumah keluarganya di Ladang Baru Kelanang.
“Si mati mengganggu dan memukul beberapa ahli keluarga serta merosakkan kenderaan milik adiknya dengan memecahkan cermin kereta menggunakan batu-bata,” katanya, lapor HM online
Beliau berkata, akibat berang dengan sikap si mati, ahli keluarga bertindak memukul si mati menggunakan kayu, kerusi dan batu.
“Si mati yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dibawa oleh ambulans ke hospital sebelum meninggal dunia.
“Bertindak di atas maklumat itu, 16 ahli keluarga ditahan dan polis turut merampas senjata kayu, batu dan kerusi yang digunakan untuk mencederakan si mati di tempat kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.