BELANJAWAN LULUS DENGAN KELEBIHAN 3 UNDI
KUALA LUMPUR: Bacaan kali ketiga Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) diluluskan dengan undian belah bahagian yang menyaksikan seramai 111 Ahli Parlimen bersetuju manakala 108 tidak bersetuju.
Usul dibawakan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz itu disokong Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali.
GAMBAR HIASAN
Undi belah bahagian dilaksanakan susulan usul Ahli Parlimen blok pembangkang yang bangun melebihi 15 orang.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun kemudian mengarahkan undi belah bahagian dilaksanakan tanpa sebarang tempoh masa berikutan undi sama baru saja dijalankan untuk kelulusan Belanjawan 2021 di peringkat jawatankuasa.
“Oleh kerana semua Ahli-Ahli Yang Berhormat ada di dalam dewan ini maka saya tidak akan tempohkan lagi dalam 10 minit,” katanya dipetik dari Malaysiapost, sebelum memerintahkan Setiausaha Dewan Rakyat membunyikan loceng selama dua minit.
Sebaik selesai proses undi belah bahagian dijalankan, Azhar mengumumkan keputusan undi yang mana ia memihak kepada kerajaan apabila mendapat 111 undi sokong, 108 tidak sokong manakala seorang tidak hadir.
Justeru, bacaan kali ketiga Belanjawan 2021 diluluskan walaupun berbekalkan majoriti tiga undi.
Ia sekali gus menyaksikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kekal mentabir negara di sebalik usaha beberapa pemimpin cuba untuk menjatuhkan Perdana Menteri.
Pada masa sama, usaha bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengajak Ahli-Ahli Parlimen menolak Belanjawan itu tidak berhasil.