BELANJA BESAR RAWAT ISTERI DI HOSPITAL KB
BELANJA BESAR RAWAT ISTERI DI HOSPITAL KB
JERANTUT : Perbelanjaan perjalanan pergi dan balik untuk mendapat rawatan kanser payu dara peringkat ke-4 di Hospital Raja Perempuan Zainab 2 (HRPZ2), Kota Bahru, Kelantan serta turut menjaga ibu mertuanya yang sakit menjadi satu pengorbanan besar buat suami kepada isterinya yang sakit.
Syed Mohammad Aluwi (55) yang bekerja sendiri dengan menanam sayur di tanah pusaka peninggalan keluarganya seluas seekar tidak cukup untuk menampung perbelanjaan perjalanan dan harian keluarganya.
“Isteri saya, yang sakit sudah berulang-alik kira-kira 30 kali dan perlu mengeluarkan belanja sebanyak RM600 setiap kali perjalanan dan belanja makanan tambahan perubatan sebanyak kira-kira RM300 sebulan.
“Saya juga mempunyai empat orang anak berusia antara 6 hingga 15 tahun turut memerlukan perbelanjaan harian dan persekolahan, dua daripadanya tinggal di asrama, ” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Temin, di sini, hari ini.
Katanya, isterinya, Sharifah Khatijah Syed Ahmad, 43 tahun sudah mengidap penyakit kronik itu sejak 2018 dan telah berulang alik ke Kota Bharu untuk mendapatkan rawatan kimoterapi di sana serta menjaga ibu mertuanya Tuan Sharifah Syed Yusoh, 85 tahun.
“Sejak akhir-akhir ini, saya kerap tidak ke kebun kerana menjaga isteri kalau dalam keadaan yang membimbangkan, kadang kala terpaksa bergadai barang kemas mana yang ada untuk perbelanjaan di samping bantuan daripada keluarga,”katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang kepada pesakit boleh melalui Syed Mohammad Syed Aluwi (suami) di akaun CIMB bernombor 7607086141 atau boleh menelefonnya di nombor 0146962755.