Belajar dengan persekitaran yang tidak ‘aman’, kecekalan membawa kejayaan SPM buat Ain
Foto atas: Ain (kiri) dan ibunya, Mazanira Mat Zain
Belajar dengan persekitaran yang tidak ‘aman’, cekal membawa kejayaan SPM buat Ain
JERANTUT- Setelah ibunya mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga lantaran bapanya meninggal dunia sejak 10 tahun lalu, pelajar cemerlang yang memperolehi 8A dan 1C dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh sebagai hadiahkan kepada ibunya.
Pelajar tersebut, Ain Natasha Anizul, 18 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Kota Gelanggi Dua yang bergelut dengan kesusahan hidup keluarganya tetap cekal menghadapi hari-hari persekolahannya dengan gigih.
Ketua pelajar SMK (Felda) Gelanggi Dua itu, berterima kasih kepada ibunya yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan tambahan untuk memasang perkhidmatan internet di rumahnya sebagai kemudahan dia mengikuti kelas secara atas talian semasa Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).
“Selain itu, saya mengikuti kelas dengan berdepan suasana tangisan serta pelbagai kerenah seramai lapan orang kanak-kanak di bawah jagaan ibunya untuk menambah pendapatan keluarga di samping turut membantu ‘mengasuh’ kanak-kanak ketika ada masa terluang.
“Memang saya bertekad belajar bersungguh-sungguh, Alhamdulillah, dengan bantuan guru-guru melalui PdPR sejak 2020 serta mengharungi format SPM baharu, membuahkan kejayaan SPM 2021 yang diumumkan baru-baru ini,” katanya.
Ain Natasha yang memperolehi keputusan ‘A’ dalam mata pelajaran bahasa Malaysia, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Sains, Sains Rumah Tangga, Perniagaan, Komputer, manakala bahasa Inggeris mendapat ‘C’.
“Hari ini, saya paling gembira dan berpuas hati selepas dua tahun berdepan cabaran dan merasai kesusahan hidup bersama keluarga akhirnya berbaloi memperoleh kejayaan kemungkinan berkat kesabaran, usaha bersungguh di samping doa serta tawakal.
“Saya memilih untuk menjadi seorang pendidik dan sudahpun menjalani ujian pertama kelayakan kemasukan sebuah institusi pendidikan, manakala pilihan kedua untuk mengikuti bidang pereka fesyen,” katanya.
Anak bongsu kepada ibu tunggal itu, Mazanira Mat Zain, 50, berkata, keadaan rumahnya sibuk di waktu pagi hingga ke petang kerana dia mengasuh lapan orang kanak-kanak yang dihantar ke rumahnya.
“Ketika sesi PdPR anak saya dalam tempoh dua tahun sejak bermula di Tingkatan Empat berikutan ancaman pandemik Covid-19 detik amat mencabar sekali ketika anak saya belajar adalah secara atas talian di rumah, keperluan internet yang mendesak, saya korbankan perbelanjaan bulanan untuk perkhidmatan internet di rumah.
“Kadang-kadang kesian juga anak saya belajar dengan persekitaran yang tidak ‘aman’, namun, dia sangat cekal menghadapi keadaan malah turut membantu melayan kerenah kanak-kanak yang dijaga oleh saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Katanya, dia tidak menyangka Ain Natasha memperoleh kejayaan ini, tetapi apapun berkat kesungguhannya serta kesabaran belajar di rumah dalam suasana yang tidak tenteram ditambah lagi dengan bantuan internet untuk kemudahan mengakses pembelajaran atas talian banyak serta bantuan guru sekolahnya turut menyumbang pencapaian SPMnya,” katanya.-SAHIH.