BEKAS SUAMI ZIANA ZAIN DIPENJARA 8 BULAN
BEKAS SUAMI ZIANA ZAIN DIPENJARA 8 BULAN
Rotan Anak Lelaki, Bekas Suami Ziana Zain Dihukum Penjara 8 Bulan
Bekas suami kepada penyanyi terkenal Ziana Zain iaitu Armin Zaharin Ahmad Zambri dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan kerana merotan anak lelakinya oleh Mahkamah Majistret Shah Alam pada 28 September lalu.
Bagaimanapun, Armin memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi untuk mengenepikan sabitan dan hukuman bagi kesalahan itu pada tarikh sama hukuman dijatuhkan.
Peguam yang mewakili Armin berkata rayuan itu sepatutnya ditetapkan hari ini untuk pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nur Azizah Jaafar namun ditangguh berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Terdahulu, mahkamah menjatuhkan hukuman selepas mendapati Armin Zaharin bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan luka dan lebam di bahagian tangan anak lelakinya yang berumur 9 tahun menggunakan sebatang rotan di sebuah rumah pada 24 Februari 2018.
Bagaimanapun mahkamah membenarkan pelaksanaan hukuman terhadap Armin Zaharin ditangguhkan sehingga proses rayuan selesai namun menaikkan jumlah jaminan daripada RM5,000 kepada RM8,000.
Armin yang merupakan bekas ketua pramugara itu ditangkap pada 2 Mac 2018 selepas Ziana membuat laporan polis pada 27 Februari 2018.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 9 Mei 1998 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan berumur lingkungan 11 hingga 20 tahun.
Ziana dan Armin Zaharin sah bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 12 Julai 2018.