BEKAS SAMI TERTUA SINGAPURA DITAHAN
BEKAS SAMI TERTUA SINGAPURA DITAHAN
SINGAPURA: Seorang bekas ketua sami di kuil Hindu tertua di republik ini didakwa atas kesalahan berulang kali memajak gadai barangan kemas milik kuil itu bernilai SGD1.5 juta (RM4.5 juta).
Difahamkan, Kandasamy Senapathi, 37, akan memajak barangan kemas itu dan menebusnya apabila berjaya mengumpulkan wang mencukupi, sebelum mengembalikannya ke kuil tempat dia berkhidmat.
Bagaimanapun, helahnya terbongkar apabila menghadapi kesempitan wang bagi menebus barangan kemas yang dipajak berikutan krisis pandemik COVID-19.
Sami warga India itu berkhidmat di Kuil Sri Mariamman berusia 194 tahun, yang juga antara tarikan pelancong utama Singapura dan tumpuan penganut Hindu di pulau itu.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebanyak lima kali antara 2016 dan 2020 ketika bertugas sebagai ketua sami.
Pihak pengurusan kuil menyedari kehilangan barangan kemas berkenaan ketika audit dalaman dan suspek ditahan sebelum dipecat.
Bagaimanapun, Kandasamy kemudian berjaya menebus semula barangan kemas itu dan memulangkannya kepada kuil berkenaan.
Jumlah pajakan semua barangan berkenaan, yang lazimnya digunakan bagi upacara sembahyang, melebihi SGD2 juta (RM6 juta), berdasarkan dokumen mahkamah yang dilihat AFP.
Kandasamy didakwa atas lima tuduhan rasuah kerana menghantar pulang ke India lebih SGD141,000 (RM426,000), hasil daripada perbuatan jenayahnya, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun bagi setiap kesalahan.
Dia juga didakwa melakukan pecah amanah jenayah kerana memajak gadai barangan kemas berkenaan, yang mana setiap pertuduhan boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun jika bersabit kesalahan.