BEKAS PRESIDEN BARCELONA DITAHAN POLIS
BEKAS PRESIDEN BARCELONA DITAHAN POLIS
BARCELONA: Bekas presiden Barcelona Josep Maria Bartomeu ditahan polis Isnin lalu susulan siasatan skandal ‘Barcagate’.
Bartomeu, yang meletak jawatan Oktober lalu, berada dalam senarai empat tangkapan dilakukan hanya enam hari sebelum pemilihan presiden baharu Ahad ini.
Ketua Eksekutif Barcelona, Oscar Grau, ketua jabatan perundangan Roma Gomez Ponti dan penasihat Bartomeu, Jaume Masferrer turut ditahan polis Catalan, yang menggeledah pejabat kelab pagi semalam, lapor AFP
Grau dan Gomez Pont dibebaskan pada hari sama manakala Masferrer terpaksa bermalam di lokap balai polis Barcelona sebelum ke mahkamah hari ini.
Barcelona mengeluarkan kenyataan mengesahkan operasi berkenaan berkaitan kontroversi Barcagate tahun lalu, apabila kelab dituduh menyembunyikan bayaran yang dibuat kepada syarikat bernama I3 Ventures, yang dilantik untuk melonjak imej presiden ketika itu, Bartomeu di media sosial.
Sebahagian kempen media sosial termasuk mengkritik pemain dan bekas pemain serta pengendali, antaranya Lionel Messi, Xavi Hernandez dan Pep Guardiola.
Pengganti Bartomeu akan dipilih Ahad ini membabitkan tiga calon akhir Joan Laporta, Toni Freixa dan Victor Font.