BEKAS PESAKIT COVID-19 JUGA PERLU PELALIAN
BEKAS PESAKIT COVID-19 JUGA PERLU PELALIAN
PUTRAJAYA: Sejarah jangkitan COVID-19 tidak memberi jaminan pesakit kebal daripada jangkitan semula virus itu.
Ini berikutan, antibodi bekas pesakit hanya mampu bertahan kira-kira lapan bulan, bergantung kepada tahap jangkitan masing-masing.
Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim, berkata antibodi pesakit jangkitan ringan sebaliknya mungkin bertahan kurang dari lapan bulan.
“Kalau pesakit Kategori 1 dan 2, dia punya tindak balas dan imuniti kurang sikit berbanding mereka yang teruk atau kritikal.
“Sebab itu vaksin diperlukan untuk menyeleraskan tindak balas terhadap jangkitan COVID-19,” katanya pada sesi libat urus bersama Ketua Pengarah Kesihatan, di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal (ICR), Dr P Kalaiarasu, menafikan dakwaan bekas pesakit COVID-19 tidak perlu menjalani program vaksinasi.
“Mereka (bekas pesakit COVID-19) masih mempunyai kebarangkalian untuk dijangkiti semula virus terbabit,” katanya, lapor BH Online.
GAMBAR HIASAN
Dalam pada itu, Ketua Sektor Bahagian Kawalan Penyakit, Dr Mohd Hanif Zailani, berkata penerima vaksin yang mengalami alahan perlu memulakan semula program pelalian COVID-19, menggunakan jenis vaksin berlainan.
“Jika penerima vaksin Pfizer mengalami alahan, mereka perlu mengulangi pelalian, mungkin menggunakan vaksin AstraZeneca dan mereka tetap akan diberikan dua dos juga.
“Baki dos Pfizer itu pula akan digunakan kepada penerima lain,” katanya.