BEKAS PEGAWAI KANAN PAIP DIDENDA RM80,000
BEKAS PEGAWAI KANAN PAIP DIDENDA RM80,000
KUANTAN: Seorang bekas penolong pengurus (pengeluaran) Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) didenda RM80,000 selepas mengaku bersalah atas empat tuduhan pilihan kerana terbabit dalam aktiviti menerima suapan, enam tahun lalu.
Tertuduh, Jamal Nasir Mamat, 64, dijatuhi hukuman itu oleh Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain, selepas pertuduhan pilihan dibacakan di Mahkamah Sesyen Kuantan, semalam.
Mengikut kertas pertuduhan, dia yang menetap di Taman Mahkota Permai, di sini, didakwa gagal melaporkan pemberian rasuah berjumlah RM201,800 diterimanya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
GAMBAR HIASAN
Suapan itu didakwa diterima tertuduh antara 21 Disember 2015 dan 4 Oktober 2017 daripada pengarah sebuah syarikat pembinaan di dua bank sekitar daerah ini, dengan setiap transaksi bernilai RM90,000; RM60,000; RM20,000 dan RM31,800.
Semua suapan itu dikatakan dimasukkan ke akaun syarikat milik menantu tertuduh sebagai balasan kerana tertuduh membantu syarikat pembinaan terbabit memperoleh projek baik pulih pasca banjir 2014 bernilai RM3.76 juta secara rundingan terus daripada PAIP.
Pertuduhan pilihan itu ditawarkan mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, lapor Sinar Harian.
Ahmad Zamzani juga memerintahkan tertuduh dihukum penjara selama lapan bulan, jika gagal menjelaskan denda tersebut.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang menjawat jawatan itu sejak 1 Januari 2014 telah mula mengenali pengarah syarikat itu sejak tahun 2011, yang kemudiannya telah meminjam 10 lesen perniagaan bumiputera pada tahun 2015 bagi menyertai tawaran kerja dikeluarkan PAIP.
Tertuduh yang bertubuh kecil itu didakwa telah menggunakan kedudukan sebagai Ahli Jawatankuasa Penilaian Harga untuk membantu 10 syarikat tersebut mendapatkan 12 projek membaiki sistem bekalan air akibat banjir termasuk di Lubuk Kawah, Temerloh; Mela, Lipis dan Kuala Tahan, Jerantut.
Pada prosiding itu, Peguam Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar merayu mahkamah tidak mengenakan hukuman penjara, kerana tertuduh merupakan pesakit jantung dan sedang menjalani rawatan berkala di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, selain menghidap tekanan darah tinggi sehingga menjejaskan penglihatannya.
“Tertuduh juga perlu membawa isteri ke hospital setiap bulan bagi rawatan penyakit darah tinggi dan kencing manis selain berulang ke Melaka untuk membawa ayahnya yang berusia 93 tahun ke hospital,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman bersifat pengajaran, selain perlu mengambil kira faktor tertuduh sebelum ini berdepan 11 pertuduhan sebelum pihak pendakwaan menerima representasi dihantar peguam dan menawarkan pertuduhan pilihan terhadap tertuduh.
Jamal Nasir pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 19 Februari 2020.