BEKAS HOME GUARD TERIMA RUMAH BAHARU SEMPENA HARI MALAYSIA DI LIPIS
BEKAS HOME GUARD TERIMA RUMAH BAHARU SEMPENA HARI MALAYSIA DI LIPIS
LIPIS : Bekas home guard (pasukan kawalan tempatan), Kamarudin Li, 85, gembira apabila keluarga itu menerima bantuan rumah baharu sempena Hari Malaysia yang terletak di Kampung Seberang, Tanjung Buloh dekat sini, baru-baru ini.
Bagi warga emas dan isterinya, Khadijah Hamid, 50, yang mempunyai lima orang anak itu telah diziarahi oleh Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dan Ketua Polis Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor yang hadir ke kediaman baharu itu serta beramah mesra dengan keluarga berkenaan.
Rumah baharu Kamarudin yang dibina dengan perbelanjaan hampir RM70,000 terletak di tempat selamat hasil usaha Ibupejabat Polid Daerah (IPD) Lipis yang diketuai oleh Azli bagi menggantikan rumah lama yang usang dan uzur kerap dinaiki air ketika musim banjir Sungai Jelai berdekatan kampung tersebut.
Warga emas itu yang bertugas sebagai anggota home guard kawasan Lipis antara 1950 hingga 1959 berkata, dia terharu dan bersyukur kerana dapat menduduki rumah baharu hasil usaha IPD Lipis menguruskan perbelanjaan bahan binaan serta kerja membina dengan bantuan penduduk di situ sehingga siap dan boleh diduduki keluarganya.
“Pengorbanan semasa home guard sekdar membantu tanah air, hanya sebahagian sahaja tampil berjuang bersama pasukan ini untuk mempertahankan negara dan kampung daripada ancaman Komunis berbanding dengan sumbangan rumah baharu ini yang tinggi nilai binaannya.
“Namun, saya sangat berterima kasih kepada Timbalan Ketua Polis Pahang dan dan Ketua Polis Lipis yang sudi datang dengan menaiki bot menyeberangi Sungai Jelai untuk melihat rumah baharu serta berziarah keluarga saya,” katanya di Kampung Seberang, Tanjung Buloh dekat sini.
Katanya, dia terkenangkan rakannya seramai 12 orang yang sama berjuang diketuai oleh Pawang Nong serta dibantu Wan Deraman yang menentang Komunis di Kampung Sepial, KualaTembeling pada 1952.
“Saya berharap kerajaan dapat membantu kebajikan rakan home guard lain yang masih hidup kerana kami berjuang dahulu tanpa dibayar gaji, malahan tanpa pencen selepas bersara demi mempertahankan agama, nusa dan bangsa,” katanya.
Sempena program ziarah Hari Malaysia, Mohd. Yusri telah menyampaikan sumbangan wang tunai, barang makanan daripada anggota Amanita IPD Lipis dan surat penghargaan Polis Pahang kepada Kamarudin.
Sementara itu, Mohd. Yusri berkata, program ziarah itu untuk mengesan saki-baki home guard yang masih hidup untuk tujuan mengenalpasti kebajikan masing-masing supaya Polis Pahang dan IPD di tempat masing-masing berusaha membantu dengan apa cara sekalipun.
“Kita sangat menyanjung tinggi serta amat menghargai pengorbanan bekas home guard dan Special Constable serta anggota lain yang berjuang pada era Darurat 1948 sehingga negara merdeka dan pasca berikutnya untuk menghapuskan saki-baki Komunis.
“Tanpa pengorbanan mereka yang berbekalkan semangat, keberanian, titik peluh dan sebagainya, kita rakyat Malaysia dan generasi hari tidak dapat mengecapi kemakmuran, keselesaan dan kesejahteraan hidup sekiranya negara masih diancam musuh Komunis,” katanya.
Katanya, beliau berterima kasih dan setinggi penghargaan kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kerana memberikan sumbangan sebanyak RM30,000 dan selebihnya daripada pemimpin setempat, anggota polis IPD Lipis dan dermawan sehingga memolehkan kediaman baharu Kamarudin siap sempurna.
“Penghargaan juga kepada Ketua Polis Lipis, anggota IPD di sini dan penduduk Tanjung Buloh yang berusaha mengumpul dana termasuk kerja mengangkut bahan pembinaan menyeberangi Sungai Jelai serta membina kediaman ini sehingga siap dan boleh diduduki dengan selamat,”katanya.-SAHIH.