Bekas diplomat miliki ladang ganja sekitar kediamannya di Janda Baik
Bekas diplomat miliki ladang ganja sekitar kediamannya di Janda Baik
BENTONG – Seorang bekas diplomat ditahan kerana disyaki mengusahakan ladang ganja di belakang rumahnya di Janda Baik, Bentong.
Suspek seorang warga emas berusia 78 tahun bergelar datuk ditahan selepas polis menemui 102 pokok ganja di sekeliling rumahnya.
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya bertindak atas maklumat dan polis menyerbu dan menahan lelaki terbabit di rumahnya di Janda Baik, kira-kira jam enam petang Sabtu lalu.
“Selepas memeriksa di sekitar dan belakang kediaman datuk terbabit, polis menemui 102 pokok ganja pelbagai saiz termasuk yang sudah mencapai setinggi dua meter di kawasan seluas setengah hektar.
“Harga semua pokok ganja yang ditemui itu dianggarkan RM 61,000 serta turut menemui botol berisi cecair dipercayai minyak ganja dan 1,200 gram daun ganja kering,” katanya.
Katanya, hasil ujian awal sampel, suspek yang berada di dalam rumah tersebut didapati negatif dadah.
“Suspek yang berusia 78 tahun, bagaimanapun berdasar siasatan awal polis, suspek turut mendedahkan menggunakan cecair disyaki minyak ganja dengan mencampurkan beberapa titik ke dalam minuman sejak tiga tahun lalu
“Polis mendapati ladang ganja ini diusahakan sejak 2015, benih semaian pokok itu pula dikatakan diambil daripada ganja mampat,” katanya.
Katanya, dengan susulan tahanan bekas diplomat itu, polis turut menahan anak lelaki itu berusia 53 tahun di Shah Alam, Sselangor kerana dipercayai turut terbabit menanam ganja terbabit.
“Ujian saringan air kencing anak lelaki diplomat terbabit terhadap didapati positif mengambil dadah.
“Dua beranak terbabit direman seminggu dan disiasat mengikut seksyen 39b Seksyen 6b dan seksyen 6, Akta Dadah Berbahaya 1952. Sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati,” katanya.-SAHIH.