BEKAS ANGGOTA RABBANI MENINGGAL DUNIA AKIBAT COVID-19
BEKAS ANGGOTA RABBANI MENINGGAL DUNIA AKIBAT COVID-19
KUALA LUMPUR – Bekas anggota kumpulan Rabbani, Azizan Khalid yang meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kelmarin disahkan positif Covid-19.
Allahyarham yang juga pemain perkusi Rabbani dikatakan mengalami sesak nafas selepas sarapan jam 8.30 pagi dan dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 10 pagi.
Ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz berkata, ujian ke atas jenazah semalam mendapati Allahyarham positif virus itu.
Katanya, jenazah dikebumikan hari ini di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kubur, Pantai Dalam dan diuruskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pada awalnya, keluarga meminta supaya jenazah dibenarkan dikebumikan di kampungnya di Behrang, Perak.
Namun, pihak KKM tidak memberi keizinan memandangkan arwah disahkan positif.
Allah permudahkan urusan jenazah dan pihak keluarga berlembut hati mempercepatkan proses pengebumian di Pantai Dalam, tak jauh dari kediamannya,” katanya kepada Harian Metro.
Isteri Allahyarham, Dewi dan anak perempuannya, Rania juga menjalani ujian calitan dan dikuarantin selama 14 hari.
Harian Metro semalam melaporkan, Azadan berkata, Azizan tidak pernah berdepan masalah kesihatan sepanjang 30 tahun perkenalan mereka, lapor BH ONLINE.
Allahyarham menyertai Rabbani pada 1997 sebelum membuat keputusan berundur diri pada 2001.
Azizan juga difahamkan tidak mempunyai penyakit kronik, namun diserang demam sejak seminggu lalu.