BEKAS ADUN JENGKA MENINGGAL DUNIA
BEKAS ADUN JENGKA MENINGGAL DUNIA
MARAN: Peneroka FELDA Sungai Nerek, Datuk Zainal Hasan, 77, yang mencipta sejarah menjadi wakil rakyat pertama dalam kalangan warga peneroka meninggal dunia pagi tadi.
Allahyarham yang menjadi pemimpin peneroka FELDA di peringkat pusat bergiat aktif dalam politik bersama UMNO dan terpilih menjadi wakil rakyat Jengka selama empat penggal bermula 1980 sehingga 1999.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Normah Bachik, 70, dan enam orang anak.
Kemuncak politiknya apabila Allahyarham terpilih menjadi Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Tugas-Tugas Khas negeri dibawah Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Percubaannya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka buat penggal kelima pada 1999 gagal apabila ditewaskan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dari Pas dengan majoriti 500 undi.
Zainal berjasa kepada masyarakat FELDA sebagai Ahli Lembaga Pengarah, Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Permodalan FELDA dan beberapa anak syarikat FELDA, lapor Utusan Online.
Anaknya, Datuk Azwan Iskandar, 43, memberitahu, Allahyarham bapanya meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan buah pinggang kira-kira pukul 11.30 pagi di Hospital Ampang Puteri, Kuala Lumpur.
Sementara itu, Pengerusi Biro Sosial FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar kepada warga peneroka.
PENGERUSI BIRO SOSIAL FELDA WILAYAH JENGKA, RAZAK DAUD
“Sepanjang tempoh perkhidmatan Allahyarham bersama FELDA, banyak usaha dilakukan dan program diperkenalkan bagi meningkatkan taraf sosio-ekonomi warga peneroka, terutamanya di Pahang.
“Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berharap semua usaha dimulakan Allahyarham dapat diteruskan oleh ahli lembaga pengarah FELDA sekarang,” katanya.