BEKALAN BARANGAN KEPERLUAN MENCUKUPI
JAMINAN SELEPAS KPDNHEP BUAT PEMERIKSAAN
KUALA LUMPUR: Bekalan barangan secara keseluruhannya mencukupi dan berupaya untuk menampung keperluan dalam negara.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, jaminan itu susulan tinjauan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meliputi 12 jenis bekalan barangan di 681 premis perniagaan termasuk 489 peruncit, pemborong (165) dan pengilang (27).
“Pegawai penguat kuasa KPDNHEP juga melakukan 1,382 pemeriksaan khas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), namun hanya dua premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP.
“Dalam tempoh PKPP, kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai sentiasa mengamalkan kawalan kendiri, termasuk penjarakan fizikal dan kebersihan diri, terutama dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian,” katanya dalam kenyataan dilaporkan BH Online.
Mengulas kerja sanitasi awam COVID-19, Ismail Sabri berkata sebanyak 11,209 operasi dijalankan merangkumi 137 zon, sejak 30 Mac lalu.
Beliau berkata, sebanyak 13,627 premis disanitasi terdiri 2,775 pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (1,633), tempat awam (2,690), pasar raya (354) dan bangunan kerajaan (6,175).
“Semalam, sebanyak 21 operasi sanitasi dilaksanakan membabitkan 10 negeri iaitu Sabah, Melaka, Selangor, Sarawak, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Terengganu, Kedah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya.
“Operasi ini membabitkan 127 anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT), selain 12 jentera milik JBPM,” katanya.