BEKALAN AIR DI SELANGOR PULIH SEPENUHNYA
BEKALAN AIR DI SELANGOR PULIH SEPENUHNYA
KUALA LUMPUR: Bekalan air di semua 31 kawasan yang mengalami gangguan bekalan air berjadual di wilayah Petaling, Klang dan Shah Alam telah pulih sepenuhnya pada 6 pagi ini.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata pihaknya berterima kasih kepada pengguna atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini, lapor FMT.
“Air Selangor ingin memohon kerjasama para pengguna untuk melaporkan sebarang kejadian paip bocor atau pecah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi memastikan tindakan pembaikan dapat dilakukan dengan segera,” katanya dalam kenyataan.
Gangguan bekalan air berjadual itu berikutan kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu berdekatan kilang Carlsberg di Persiaran Selangor Seksyen 15, Shah Alam pada 30 Mac.