BAYI NYARIS DILARIKAN MONYET
JOHOR BAHRU: Bayi perempuan berusia lima bulan cedera pada belakang badan selepas dicakar monyet liar yang memasuki rumah keluarganya di Taman Nusa Damai, dekat sini.
BH ONLINE melaporkan, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi Ahad lalu itu, bayi berkenaan, Aisyah Nur Zara Mohd Azmi, juga dikatakan nyaris dilarikan monyet liar berkenaan.
Ibunya, Siti Nur Asikin Sulaiman, 42, berkata ketika kejadian bayi berkenaan diletakkan di atas katil di dalam bilik tidur utama rumah sementara dirinya berada di dapur untuk menyediakan susu.
“Tiba-tiba sahaja Zara menjerit dan menangis. Saya terus bergegas ke bilik untuk mendapatkannya dan terkejut melihat seekor monyet liar masuk melalui tingkap bilik dan duduk di atas belakang Zara yang saiznya lebih kurang sama, sambil mencakarnya.
“Apabila cuba menghalau termasuk menggunakan batang penyapu, monyet itu seakan menarik tangan Zara dan membawanya keluar.
“Mujur ada jiran sebelah rumah membantu. Sejurus itu, saya cuba tenangkan dan dukung Zara, sebelum menyedari baju belakangnya koyak dan ada darah pada badannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Nur Asikin berkata, ketika kejadian dua anak lelaki yang berusia 15 dan lapan tahun juga ada di rumah dan sedang menonton televisyen di ruang utama, manakala duaminya keluar bekerja.
Katanya, dia segera membawa bayinya itu ke Hospital Sultan Ismail Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan, manakala jiran membuat aduan secara dalam talian di laman web Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
“Doktor memaklumkan Zara terpaksa ditahan 14 hari kerana bimbang dengan jangkitan, apatah lagi antibodi Zara kuat. Doktor juga memberikannya dos vaksin rabies untuk rawatan,” katanya.
Nur Asikin mengakui hatinya sedih melihat bayinya itu yang tidak boleh terlentang dan menangis kesakitan.
Sementara itu, Pengarah PERHILITAN negeri, Salman Saaban, ketika dihubungi mengesahkan menerima aduan berhubung kejadian itu dan pihaknya sudah menjalankan pemantauan dan mengambil tindakan segera.
“Pihak jabatan akan terus memasang perangkap kera di kawasan berkenaan dan haiwan itu akan diburu untuk dilupuskan kerana sudah mendatangkan ancaman keselamatan kepada orang awam,” katanya.